Pembangkang tiada kekuatan suara orang Melayu - Syed Ali
Astro Awani
Mac 5, 2018 22:40 MYT
Mac 5, 2018 22:40 MYT
Pakatan pembangkang ternyata tidak memiliki kekuatan suara orang Melayu dan pendokong parti serpihannya hanya sekadar menjadi perkakas untuk DAP.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, hakikatnya pakatan pembangkang tidak sekuat mana lantas mereka melancarkan gerakan besar-besaran menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Mereka lakukannya secara lebih terancang dengan pelbagai tuduhan, andaian dan provokasi.
"Serangan dan kecaman bertali arus pembangkang terhadap kepimpinan Najib tidak melunturkan kekuatan dan kesepaduan UMNO dan BN untuk mempertahankan Putrajaya.
"'Pembunuhan' imej Perdana Menteri dilakukan pembangkang dan pihak berkepentingan juga tidak akan menghakis keyakinan serta sokongan rakyat terhadap kerajaan BN," katanya dalam catatan terbaharu di laman umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Jelasnya, hari ini, pentadbiran Najib diserang daripada segenap sudut, sama ada di dalam dan di luar negeri.
"Namun, itu tidak bermakna kerajaan pimpinan beliau semakin goyah.
"Biarpun pentadbiran Najib diserang hebat dengan persepsi negatif, tetapi BN mampu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.
"BN akan kekal di Putrajaya dan Najib juga akan kekal sebagai Perdana Menteri atas sokongan dan pilihan rakyat," tegasnya.
Katanya, keyakinan beliau itu kerana gabungan parti politik pembangkang sehingga kini tidak mencapai kesepakatan yang jitu sesama mereka.
"Adakah terlalu terdesak untuk rakyat memilih pembangkang yang masih bercakaran sesama mereka, bergabung tetapi caca marbar, bergasak berebut kerusi pilihan raya?
"Contohnya kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin oleh bekas pemimpin UMNO tidak menjadi ancaman besar kepada kerajaan BN," ujarnya.
Dalam hal ini, Syed Ali mahu seluruh komponen BN supaya meningkatkan kerjasama yang lebih mantap untuk berdepan ancaman pembangkang menjelang PRU tidak lama lagi.
Tambah beliau, rakyat terutama orang Melayu masih yakin hanya UMNO satu-satunya parti politik yang berupaya membela dan mempertahankan masa depan mereka.
"UMNO tetap konsisten dan tidak lari daripada landasan asal perjuangan untuk membela nasib dan masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
"Memang tidak dinafikan kemungkinan ada sedikit penurunan sokongan berikutan serangan persepsi itu, tetapi BN akan memenangi PRU ke-14," katanya.
Justeru, beliau mengingatkan pemimpin UMNO supaya lebih berhati-hati dengan perangkap dipasang pembangkang terutama membabitkan isu-isu kontroversi.
Syed Ali berkata, sikap cepat melatah dan menjawab isu dibangkitkan pembangkang secara tergesa-gesa boleh mengundang tafsiran yang kurang baik terhadap parti dan kerajaan.
Ini kerana kata beliau, rakyat terutama generasi muda lebih berfikiran kritis dan mudah mendapat segala informasi menerusi aplikasi media sosial.
"Jangan kita memandang mudah perkara ini, UMNO sentiasa menjadi perhatian dan penilaian rakyat, kita (UMNO) perlu lebih berhemah menangani sesuatu isu.
"Sewajarnya UMNO perlu menepis sangkaan atau tuduhan liar pembangkang, tetapi perlu lebih berhati-hati, cermat dan tidak menampakkan kita terburu-buru," katanya.
Malah kata Syed Ali, serangan balas yang dilakukan UMNO perlu lebih berkesan dan boleh memberi keyakinan serta menanam kepercayaan rakyat terhadap ketelusan kerajaan.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut menyangkal tuduhan pembangkang kononnya berlaku pergeseran di kalangan BN negeri itu berhubung pengagihan kerusi Parlimen.
"Tuduhan dilemparkan pembangkang kononnya sesama pemimpin UMNO dan BN di Wilayah Persekutuan berebut kerusi Parlimen hanyalah propaganda murahan pembangkang.
"Soal pemilihan calon bakal diputuskan oleh Najib selaku Pengerusi BN setelah mendapat pandangan daripada kepimpinan BN dan UMNO peringkat negeri.
"UMNO khususnya sentiasa akur apa juga keputusan Perdana Menteri dan Tengku Adnan Tengku Mansor selaku Pengerusi UMNO/BN Wilayah Persekutuan," tegasnya.
Katanya, agenda mereka adalah untuk menang dengan majoriti lebih besar pada PRU -14 dan berusaha merampas semula beberapa kerusi Parlimen yang dikuasai pembangkang.