Pembangkang tak bincang guling kerajaan, hanya jalankan tugas mengkritik - Razali Idris

Madiha Abdullah
Mei 8, 2023 18:15 MYT
Razali (dua dari kiri) bersama Muhyiddin dan Azmin dalam majlis sambutan hari raya bersama media, pada Isnin.
KUALA LUMPUR: Parti pembangkang tidak pernah mengadakan perbincangan secara khusus untuk menjatuhkan atau menggulingkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, pembangkang hanya menjalankan tanggungjawab mengkritik kerajaan terutama dalam aspek yang memberi impak langsung terhadap rakyat.
"Kita memang tidak bersetuju dengan kerajaan hari ini sebab kita pembangkang. Tetapi kita membangkang dengan fakta, sebagai contoh dalam hal ekonomi yang nampak tak bergerak, tak ada perancangan spesifik bagaimana kerajaan nak bangunkan atau naikkan ekonomi pasca COVID.
"Dahulu semasa COVID, Tan Sri Muhyiddin Yassin setiap minggu adakan mesyuarat, bincang macam-macam perkara tentang rakyat, tetapi sekarang tidak ada.
"Yang kita nampak hanya Anwar saja yang bercakap sebab dia Menteri Kewangan dan Perdana Menteri juga. Tetapi apabila berlaku perkara macam kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), ini perkara besar sebab ia akan menyebabkan harga barang keperluan naik tapi yang diberitahu ialah rakyat tak terkesan.
"Jadi kita tidak tahu apa maksud sebenar (dari kenyataan itu), seolah-olah bodoh datang secara mengejut. Dulu nampak cerdik semasa jadi pembangkang. Saya tak faham," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama media di Wangsa Maju, pada Isnin.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menyentuh tentang Proklamasi Melayu yang ditandatanganinya, Razali menegaskan ia bukan tandatangan yang mewakili parti seperti yang disangka ramai.
"Parti arahkan saya hadir ke perjumpaan yang kemudiannya dibatalkan. Selepas itu kami dijemput ke satu majlis buka puasa, sampai di sana saya turunkan tandatangan.
"Tetapi kami tandatangan proklamasi bukan mewakili parti, sebaliknya ia tandatangan sebagai individu. Saya pergi ke sana untuk menyokong penyatuan Melayu.
"Kami tak ada bincang tentang parti, hanya penyatuan dan sokong apabila Melayu nak bersatu sebab Melayu pun nampak sekarang berpecah.
"Jadi bila ada negarawan nak menyatukan, kami sokong. Memang kami pergi ke majlis itu mewakili parti tetapi tandatangan yang diturunkan mewakili individu, tiada paksaan," ujarnya.
Proklamasi yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu menerima sokongan antaranya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
#Bersatu #proklamasi melayu #Razali Idris #pembangkang
;