Pembangkang tabur janji palsu
Wan Syamsul Amly, Khairunnisa Kasnoon, Hans Yusoff
Disember 2, 2016 20:56 MYT
Disember 2, 2016 20:56 MYT
Pembangkang selama ini tidak mampu memberi pelbagai keistimewaan malah hanya menabur janji palsu kepada rakyat.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan kebajikan termasuk mereka yang tinggal di luar bandar.
Jelasnya yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), rakyat boleh memilih sama ada mahu melihat kemajuan negara di bawah kerajaan sedia ada atau kemunduran yang dibawa pembangkang.
"Amaran diberikan, kalau DAP yang memerintah , apa yang kita bina untuk orang Melayu, institusi seperti MARA, FELCRA , RISDA, Lembaga Tabung Haji dan sebagainya tenteu sahaja menjadi lipatan sejarah.
"Saya harap kita Melayu khususnya jangan terlalu beremosi tentang apa yang berlaku.
Lebih baik kita fikirkan untuk masa depan negara, anak, cucu, jangan salah buat pilihan seperti dua pilihanraya yang lepas, kita beri kerusi untuk pembangkang kerana akhirnya ia merugikan kita, Islam, Melayu dan bumiputera dalam negara kita ini," katanya semasa ditemui di sini hari ini.
Antara projek pembangunan yang dibawa KKLW sebelum ini melalui Felcra Berhad adalah menyiapkan 3,000 Rumah Bina Negara menjelang tahun 2020 dalam usaha membantu golongan belia di luar bandar memiliki rumah sendiri.
Terdahulu, Ismail melancarkan majlis Penyerahan Kad XPAX@KKLW di PWTC.
Ia merupakan pakej dengan Celcom Axiata dan merupakan salah satu rancangan penyediaan kandungan dan aplikasi mudah alih untuk pekebun kecil.
Pakej itu menawarkan 10GB Internet burung hantu secara percuma setiap bulan bermula pukul 1 pagi hingga 7pagi dengan hanya perlu tambah nilai RM20 sebulan dan boleh nikmati panggilan tanpa had selama 30 hari kepada mana-mana nombor Celcom.