Pembangkang sudah terima draf peruntukan Ahli Parlimen

Sinar Harian
Mac 22, 2024 08:45 MYT
Hamzah mengesahkan pembangkang sudah menerima draf dokumen yang memperincikan perkara berkaitan rundingan peruntukan kepada Ahli Parlimennya. - Gambar fail Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pembangkang sudah menerima draf dokumen yang memperincikan perkara berkaitan rundingan peruntukan kepada Ahli Parlimennya.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan perkara tersebut ketika sidang Dewan Rakyat pada Khamis.
"Saya dapat satu kertas draf untuk kita bincang, sign (tandatangan) dan (kemudian) dapat peruntukan.
"Cuma kita nak melihat perkara (dan) syarat yang ada dalam itu," katanya ketika mencelah penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai langkah pemerkasaan Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Terdahulu, Saifuddin Nasution menegaskan, tiada keperluan untuk melakukan filem lanjutan Anwar: The Untold Story bagi menceritakan kisah pihak yang mengkhianati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang perjalanan politiknya sebagaimana dicadangkan RSN Rayer (PH–Jelutong).
Beliau bagaimanapun menyifatkan Anwar seorang yang memandang ke hadapan dan pemaaf.
Rentetan itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Bukit Larut bangkit membidas kenyataan Saifuddin Nasution mengenai pemimpin harus memaafkan.
"Saya sokong sangat apa Yang Berhormat sebut, bila jadi pemimpin, kita harus memaafkan apa sahaja yang kurang baik.
"Sebab hari ini saya nampak dia (Anwar) nak memaafkan tetapi yang jadi macam menzalimi kepada pembangkang.
"Jangan kita mengangkat seseorang itu tanpa melihat tindakan yang dilakukan, jangan sehingga menimbulkan polemik di negara bahawa pemimpin ini cakap tak serupa bikin," ujarnya. - Sinar Harian
#pembangkang #draf peruntukan #ahli Parlimen #Hamzah Zainuddin
;