Pembangkang sudah dijangka heret isu edah - Mas Ermieyati

Muhafandi Muhamad
Mei 30, 2016 15:26 MYT
MAS ERMIEYATI: Kiita gunakan modal kempen kita melalui IT. - Foto Bernama
Pembangkang dijangka mengheret isu calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid yang masih dalam edah dan melanggar hukum dalam kempen PRK Parlimen berkenaan.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bagaimanapun menyifatkan isu berkenaan tidak memberi kesan kerana beberapa faktor yang dapat mengatasi isu yang dianggap bersifat peribadi.
Mastura yang antara individu awal terlibat dalam penubuhan Puteri UMNO mempunyai kekuatan dalam memupuk persefahaman pengundi muda, selain jasa dan legasi yang ditinggalkan oleh suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohamed Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Katanya Pergerakan Puteri katanya akan menangkis serangan bersifat peribadi itu melalui media sosial dengan memberikan penerangan.
“Sudah ditegaskan melalui video, beliau akur dengan hukum agama. Sekarang zaman teknologi maklumat (IT). Ini masanya nak lihat penggunaan kempen melalui IT dan ini tak ada masalah untuk Puteri.
“Saya yakin Kak Mas (Mastura) akan buat video macam semalam (Ahad) dan kita gunakan modal kempen kita melalui IT. Kak Mas juga mempunyai empat anak lelaki yang dapat mewakili ibu mereka berkempen,” ujar Mas Ermieyati.
Tambahnya, Puteri juga telah memulakan gerak kerja mendekati pengundi muda di Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang mana kedua-dua Parlimen berkenaan mempunyai lebih 30 peratus pengundi muda.
Antara pendekatan Puteri adalah membantu mewujudkan peluang kerja, mempertingkat penglibatan anak muda dalam industri kecil dan sederhana dan peluang pendidikan.
#Barisan Nasional #berita politik #BN #isu edah PRK Kuala Kangsar #Mas Ermieyati Samsudin #Mastura Yazid #Puteri UMNO #UMNO
;