Pembangkang semakin dapat sokongan rakyat - Muhyiddin

Sinar Harian
Julai 13, 2024 15:00 MYT
Muhyiddin (empat dari kanan) menghadiri Konvensyen Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
SELAYANG: Pembangkang semakin mendapat sokongan rakyat terutama orang Melayu berdasarkan situasi politik semasa ketika ini.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gelombang peralihan itu dibuktikan dengan kemenangan pembangkang dalam beberapa siri pilihan raya termasuk di Sungai Bakap, baru-baru ini.
“Saya bukan ingin mendabik dada, tetapi hakikatnya Bersatu semakin mendapat sokongan rakyat.
"Sekarang ini kita bersama rakan-rakan parti anggota Perikatan Nasional (PN) menjadi parti pilihan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, data menunjukkan sokongan rakyat kepada PN semakin kuat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), walaupun mereka parti pembangkang.
“Dalam PRK Sungai Bakap, PN bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusinya, tetapi meningkatkan majoriti hampir tiga kali ganda.
"Begitu juga dalam PRK Kuala Kubu Baharu sebelumnya. Walaupun tidak berjaya merampas kerusi itu daripada PH, tetapi sokongan pengundi terutamanya Melayu, semakin meningkat,” katanya.
Dalam pada itu Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menjelaskan, peralihan ketara sokongan berlaku disebabkan rakyat tidak lagi yakin dan percaya kepada kerajaan.
Ini kerana ujarnya, banyak janji-janji yang ditabur tidak ditunaikan selain rakyat melihat kerajaan pada hari ini tidak berprinsip.
“Cakap mereka (kerajaan) bohong. Dulu cakap lain, sekarang buat lain. Dulu janji turun harga minyak, sekarang naikkan harga (minyak).
“Dulu tolak penyamun, sekarang selamatkan penyamun. Dulu janji mempertahankan kebebasan bersuara, sekarang sekat.
"Dulu kecam wakil rakyat bertukar parti walaupun dibenarkan oleh Perlembagaan, sekarang bela pelompat parti walaupun perbuatan itu jelas salah di sisi Perlembagaan.
“Dulu ada macam-macam formula, sekarang semua formula tidak menjadi. Pelaburan makin kurang, pertumbuhan makin perlahan, ekonomi makin teruk, rakyat makin susah. Kerana itu rakyat tidak percaya kepada mereka lagi,” tegasnya.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#pembangkang mendapat sokongan #Muhyiddin Yassin #Parti Bersatu #PRK Sungai Bakap
;