Pembangkang Selangor sedia terima Shaid
Astro Awani
Oktober 23, 2019 08:26 MYT
Oktober 23, 2019 08:26 MYT
Pembangkang Selangor menerima Mohd Shaid Rosli dengan hati terbuka jika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram itu sanggup meninggalkan Pakatan Harapan (PH) demi mempertahankan pendiriannya.
Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail menegaskan, situasi itu sangat baik bagi pihaknya untuk menambah ahli dalam proses semak dan imbang pentadbiran kerajaan negeri itu sendiri.
“Saya dihubungi oleh Shaid yang mana memaklumkan dia bersedia menjadi pembangkang pada sidang dewan nanti kerana sudah tawar hati dan berasa sangat kecewa dengan kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu.
“Shaid juga menyatakan bahawa sudah berasa tawar hati untuk bekerjasama dengan DAP yang kini semakin bermuka-muka dan sudah menunjukkan wajah sebenar parti itu yang sejak dahulu lagi kita kenal bersifat rasis,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Terdahulu, Shaid dilaporkan mencabar Ronnie dan kepimpinan tertinggi DAP untuk membawa satu usul untuk membuang Bersatu dari komponen PH di dalam mesyuarat Majlis Presiden PH akan datang.
Tegasnya, Ronnie juga dipercayai masih berdendam dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan masih terbawa-bawa sifat sebenar DAP iaitu rasis dalam mengeluarkan kenyataan.
Dalam pada itu kata Rizam yang juga ADUN Sungai Air Tawar, apa yang menjadi keutamaannya kini adalah segala kepentingan rakyat Selangor haruslah diperjuangkan terutamanya dalam isu menjaga kebajikan.
“Saya yakin dan percaya bahawa jika benar hubungan antara parti-parti di dalam PH bergolak, maka itu adalah perkara yang akan melemahkan pentadbiran negeri sebenarnya.
“Kerana apa ia terjadi? Pasti kerana mereka semua tidak habis-habis berpolitik dan langsung tidak menumpukan perhatian kepada urus tadbir kerajaan negeri,” jelasnya.
Ronnie menerusi laporan sebuah portal berita tempatan pada Selasa mendakwa PH masih boleh membentuk kerajaan tanpa Bersatu.
Selain itu, Ronnie turut mendakwa Dr Mahathir mengejar model Barisan Nasional (BN) yang mempunyai parti dominan Melayu untuk mengawal pakatan itu.
#ADUN
#Barisan Nasional
#DAP
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Melayu
#model
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#presiden
#rakyat