Pembangkang Sarawak masih goyah berbanding GPS - Penganalisis Politik

Nuzuluddin Abdul Razak
Mei 9, 2022 14:55 MYT
Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir berkata, ia juga langkah terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai satu blok pembangkang yang kukuh tanpa DAP. FOTO: Astro AWANI
KUCHING: Blok pembangkang di Sarawak dilihat masih goyah walaupun terdapat kerjasama antara Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Bagi Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir kerjasama itu adalah refleksi kepada keputusan tidak memuaskan pada Pilihanraya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) yang lalu
Menurutnya, ia juga langkah terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai satu blok pembangkang yang kukuh tanpa DAP.
‘’Selagi berlakunya pertembungan pelbagai penjuru, selagi itu akan merugikan mereka kerana yang jelas apabila berlaku pertembungan pelbagai penjuru tiada kerjasama maksudnya ini akan menyebabkan mereka berlawan sesama sendiri sehingga menyebabkan pecah undi.
‘’Apabila (berlaku) pecah undi ini sekaligus merugikan mereka dan memberikan keuntungan faedah kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS),’’ katanya.
BACA: PSB, PBK akan meterai MoU, fokus pembahagian kerusi menjelang PRU15
Tambahnya, parti pembangkang juga perlu lebih realistik dan berfokus dalam menulis naratif perjuangan yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
‘’Saya fikir kalau PBK bermain dengan sentimen atau manifesto yang mereka jual dalam PRN yang lalu khususnya kemerdekaan Sarawak sebagai contoh, mereka ini gagal untuk menangkap imaginasi politik rakyat Sarawak.
‘’Melainkan sesuatu yang lebih baik daripada GPS, khususnya bagaimana mereka dapat mendapat geran yang lebih banyak, peruntukan yang lebih banyak daripada Kerajaan Persekutuan dan dapat melakukan perubahan daripada segi politik ekonomi pembangunan dan sebagainya,’’ ujarnya lagi.
Terdahulu melalui kenyataan bersama pada Ahad, PSB dan PBK telah menandatangani MOU bagi memberi tumpuan kepada pembahagian dan mengelak pertembungan kerusi di antara kedua-dua parti itu menjelang PRU15.
PRU15 | PSB dan PBK akan memeterai MoU pembahagian kerusi
#Parti Bumi kenyalang #Parti Sarawak Bersatu #Gabungan Parti Sarawak #PRU15
;