Pembangkang pertikai Wan Fayhsal tak dibenar duduk di galeri awam

Umavathi Ramayah
Oktober 21, 2024 14:20 MYT
Wan Ahmad Fayhsal berada di galeri awam bagi mengikuti persidangan Isnin lalu, namun pada Selasa, beliau menerima surat daripada Johari yang tidak membenarkannya berbuat demikian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pembangkang memohon penjelasan Dewan Rakyat mengenai tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul melarang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung enam bulan sejak Julai lalu daripada mengikuti persidangan itu dari galeri awam.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, Ahli Parlimen Machang itu berada di galeri awam bagi mengikuti persidangan Isnin lalu, namun pada Selasa, beliau menerima surat daripada Johari yang tidak membenarkannya berbuat demikian.
"Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 44 (5), jika seseorang ahli digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat, dia hendaklah keluar dan tidak ambil bahagian dalam mesyuarat sehingga tamat tempoh penggantungan.
"Machang sudah digantung selama enam bulan dari 18 Julai 2024 hingga 18 Januari 2025, namun dalam perenggan tiga surat yang diterima beliau beberapa hari lalu menyatakan beliau tidak dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat, termasuk Galeri Awam dan tempat pegawai bertugas, namun masih boleh berada di perkarangan kompleks Parlimen dan mengikuti siaran langsung yang dipapar.
"Beliau tidak duduk di tempat beliau, tetapi di galeri awam tempat orang kampung boleh datang dari ceruk mana sekalipun duduk sini.
"Tetapi Speaker kata Machang tidak boleh duduk, sedangkan itu menunjukkan beliau Ahli Parlimen yang prihatin dan komited, dan ada perkara berkaitan rakyat Parlimennya, boleh minta untuk dimasukkan dalam (perbahasan) Ahli Dewan," katanya di sini, pada Isnin.
Menjawab soalan itu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor berkata, beliau tidak akan membuat sebarang keputusan kerana keputusan itu dibuat Johari.
Ramli: Autoriti keputusan masih pada Speaker, saya tak boleh override melainkan dalam majlis ini ada hierarchy of court. Apa yang saya cadangkan insiden yang telah berlaku pada 18 Julai usulkan dengan surat ini. Saya tidak akan membuat keputusan dalam hal ini.
Takiyuddin: Maksudnya Yang Dipertua tidak akan membuat sebarang keputusan?
Ramli: Saya tidak akan membuat keputusan bab ini, kerana keputusan tidak boleh override.
Takiyuddin: Boleh direkodkan, saya dibenarkan untuk bangkitkan semula (isu) ketika dipengerusikan Speaker Dewan Rakyat?
Ramli: Baik, untuk rekod majlis, saya membenarkan perkara ini dibangkitkan semasa beradanya Speaker Dewan Rakyat.
#Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal #Dewan Rakyat #pembangkang #Takiyuddin Hassan
;