Pembangkang persoal 'keikhlasan' kerajaan laksana komitmen COP26
Hakim Rahman
November 27, 2021 10:57 MYT
November 27, 2021 10:57 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat seolah-olah tidak serius dalam melaksanakan komitmen yang dibuat semasa Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) baru-baru ini.
Dalam kenyataan bersama, bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Ong Kian Ming menggesa kerajaan segera meluluskan Akta Perubahan Iklim sebagai bukti melaksanakan komitmen yang dibuat di Glasgow.
Kata mereka, 'keikhlasan' kerajaan dalam mengharungi perubahan iklim dan strategi pembangunan tindakan iklim jangka panjang seperti yang dinyatakan dalam COP26 jelas kelihatan baru-baru ini dengan keputusan menggunakan Toyota Vellfire yang menggunakan 36 peratus petrol lebih banyak berbanding Proton Perdana walaupun kadar sewaan adalah RM2.80 lebih jimat.
"Kita anggarkan kenderaan menteri bergerak dengan kadar perbatuan 100km sehari selama lima hari seminggu, bermakna 2,000km sebulan.
"Jika kita guna anggaran ini, kos petrol bagi sebuah Toyota Vellfire adalah RM94.30 lebih mahal berbanding Proton Perdana.
"Toyota Vellfire juga menghasilkan lebih 460g dalam pelepasan karbon monoksida (CO2) berbanding Proton Perdana," kata kenyataan itu.
Salah satu daripada lapan sasaran yang ditetapkan Malaysia adalah penggunaan 100 peratus kenderaan rasmi mesra alam enjin jenis bukan pembakaran dalaman (non-internal combustion) seperti jenis hibrid atau elektrik menjelang 2030.
Kata kenyataan itu lagi, tindakan menukar kenderaan rasmi menteri itu dibuat tanpa memberikan pertimbangan terhadap kesan alam sekitar yang dihasilkan kedua-dua jenis kenderaan tersebut.
"Jika ini sikap dan pendekatan yang diambil kerajaan ketika ini, bagaimana kita boleh percaya terhadap komitmen kerajaan untuk guna kenderaan rasmi mesra alam menjelang 2030?" soal mereka.
Kedua-dua bekas menteri era kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu juga menambah salah satu cara untuk membuktikan usaha mencapai komitmen yang disasarkan adalah dengan mewujudkan Akta Perubahan Iklim seperti yang diluluskan di United Kingdom pada 2008 dan kemudian ditambah baik pada 2019.
Katanya, kerajaan PH sebelum ini sudah memulakan usaha melakukan kajian dalam menyediakan undang-undang tersebut untuk dibentangkan pada tahun 2022 sebelum Langkah Sheraton membantutkan usaha mereka.