Pembangkang perlu guna saluran demokrasi dengan cara yang betul - Pemuda UMNO

Bernama
Oktober 9, 2014 07:45 MYT
Penyokong pakatan pembangkang boleh meminta pemimpin mereka untuk bersuara dalam Parlimen kerana mereka turut mempunyai wakil di dalamnya. - Foto Fail
Penyokong pakatan pembangkang diingatkan supaya tidak mencetuskan provokasi melampau terhadap kepimpinan tertinggi negara dan mereka perlu menggunakan saluran yang betul jika ingin menyuarakan pendapat.
Exco Pergerakan Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah berkata penyokong pakatan pembangkang boleh meminta pemimpin mereka untuk bersuara dalam Parlimen kerana mereka turut mempunyai wakil di dalamnya.
"Cukup-cukuplah (demonstrasi) kerana kita mempunyai saluran demokrasi, kita ada sistem Parlimen, sebaiknya gunakan saluran yang betul kerana mereka (penyokong pembangkang) juga ada wakil dalam Parlimen.
"Kalau mereka (anggota Parlimen pembangkang) tak reti menggunakan saluran demokrasi maka jangan khianat apa yang rakyat telah berikan (melantik sebagai anggota Parlimen). Sila letak jawatan, beri kepada wakil rakyat yang lebih bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar di sini, khamis.
Dalam satu demonstrasi yang dilakukan di luar kawasan Parlimen semalam, seorang lelaki bertindak biadab dengan meletakkan selipar di poster yang tertera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Armand yang juga Pengerusi Briged Kesatria Muda turut mengingatkan anggota Parlimen pembangkang supaya tidak cuba menanam kebencian dalam minda rakyat menerusi perlakuan negatif yang ditunjukkan dalam demonstrasi itu.
"Adakah ini yang nak diterapkan dalam pemikiran rakyat pada masa hadapan, di mana kita nak rakyat Malaysia tak hormat (kepimpinan tertinggi negara).
"Adakah mereka (pemimpin pembangkang) nak satu hari nanti kalau mereka jadi pemimpin, kita buat perkara sama," katanya.
#Armand Azha Abu Hanifah #demonstrasi #pakatan #Parlimen #pembangkang
;