Pembangkang perlu bersatu padu untuk lakukan reformasi - Mat Sabu
Astro Awani
Disember 10, 2016 13:19 MYT
Disember 10, 2016 13:19 MYT
Tanpa komitmen untuk membina kerjasama politik yang padu, pakatan pembangkang tidak mampu melakukan reformasi secara menyeluruh terhadap sistem politik dan sosioekonomi negara, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.
Mohamad berkata untuk mencapai tujuan tersebut, Amanah sedia bersama sekutu mereka dalam Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk membentuk satu kesatuan parti politik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Tegas beliau, gabungan parti pembangkang itu akan menggunakan satu logo, satu manifesto dan satu gerak kerja bertujuan untuk berdepan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Sesebuah kerjasama politik yang ingin menjadi pesaing kepada UMNO dan BN perlu mempunyai struktur dan dasar yang jelas, serta diikat dengan perjanjian dan persefahaman yang utuh.
"Hanya kerjasama politik seperti ini sahajalah yang mampu memberi jawapan kepada dilema politik negara kita," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada perasmian Konvensyen Nasional Amanah 2016 di pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar Pakatan Harapan bertanding di bawah satu logo dan satu manifesto sepertimana yang dilakukan BN untuk memenangi pilihan raya akan datang.
Konvensyen Amanah 2016 bermula hari ini dan akan berakhir esok dihadiri beberapa pemimpin parti pembangkang, antaranya ialah Dr Mahathir, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar