Pembangkang perlekeh keputusan pengundi hina sistem demokrasi negara - Ismail Sabri

Bernama
Jun 22, 2016 18:07 MYT
ISMAIL SABRI: Sikap pembangkang menghina pengundi itu jelas menggambarkan mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa rakyat masih setia menyokong kerajaan. - Gambar fail
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan dua pemimpin pembangkang memperlekehkan keputusan pengundi memilih Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak Sabtu lepas adalah penghinaan kepada pengundi.
Beliau berkata tindakan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua itu juga merupakan penghinaan kepada sistem demokrasi negara.
"Pembangkang sejak dari dulu lagi tidak boleh menerima kemenangan BN, menyifatkannya sebagai tipu muslihat dan menyalahkan kerajaan, tetapi jika memang mereka mengatakan itulah demokrasi sebenarnya.
"Rakyat sebenarnya sudah sedar dengan kerenah dan permainan politik kotor pembangkang, kerana itu pengundi menolak pembangkang kerana mereka sentiasa mencari kesalahan di pihak lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis khatam al-Quran di Masjid Kerayong di sini hari ini yang dirasmikan oleh Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin dan lebih 1,600 orang kariah dari kawasan sekitar.
Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata sikap pembangkang menghina pengundi itu jelas menggambarkan mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa rakyat masih setia menyokong kerajaan.
"Bagi UMNO (dan BN) yang sudah biasa kalah di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor, kita sentiasa terbuka menerima keputusan yang dibuat rakyat sekaligus mengakui kesuburan demokrasi di negara ini, tetapi setiap kekalahan memang sukar untuk diterima pembangkang," katanya.
#Ismail Sabri menyifatkan tindakan dua pemimpin pembangkang memperlekehkan keputusan pengundi memilih BN pada pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar #Rafizi Ramli #Selangor dan Kuala Kangsar adalah penghinaan kepada pengundi #Tony Pua
;