'Pembangkang lompat kawasan kerana tidak beri khidmat'
Abd Razak Mohd Ali
April 17, 2018 16:52 MYT
April 17, 2018 16:52 MYT
Antara sebab calon pembangkang 'melompat' ke kawasan lain adalah kerana mereka tidak memberi perkhidmatan kepada rakyat yang diwakili.
Itu pendapat Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Saarani Mohamad, yang menggelarkan mereka sebagai 'calon nomad'.
Beliau memberi contoh, Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak memberi khidmat kepada rakyat ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang merangkap Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).
Ekoran itu, kata Saarani, Mohammad Nizar 'lari' pula dan bertanding di DUN Changkat Jering pada PRU13, tetapi tetap tidak memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan tersebut.
"Walaupun kita tidak menang Changkat Jering, ketika banjir di situ, muka Mohammad Nizar masih tidak kelihatan, hanya UMNO dan BN yang turun padang untuk melihat mangsa banjir.
"Sekarang, dia tahu orang Changkat Jering marah dengannya, jadi dia lari ke tempat lain. Yang lain pun sama. Apa Nga Kor Ming buat di Taiping? Tidak ada apa-apa," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang melompat kawasan, seperti Nga yang akan bertanding di Parlimen Teluk Intan dan Mohammad Nizar di DUN Sungai Rapat.
Saarani menambah, "Calon-calon pembangkang bukan wakil rakyat sebenar, mereka tidak berkhidmat, sebaliknya hanya hendak menjadi ADUN sahaja.
"Yang memberi khidmat kepada rakyat adalah ADUN BN, Ahli Parlimen BN. Banjir, kebakaran, ribut, taufan atau kemalangan, semuanya ADUN BN yang menolong."
Saarani berkata, calon-calon pembangkang melompat kawasan kerana mereka sedar, jika bertanding di tempat yang sama, rakyat akan marah dan tidak mengundi mereka.
Sebaliknya, kata beliau, calon-calon BN tidak melompat kawasan dan tetap bertanding di tempat sama, sekiranya terus diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti.