Pembangkang ditempelak samakan peruntukan Kedah sebagai 'dedak'
Adie Sufian Zulkefli
Februari 24, 2018 19:57 MYT
Februari 24, 2018 19:57 MYT
Jangan samakan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada rakyat sebagai dedak.
Demikian tempelak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap pemimpin pembangkang.
Sebaliknya, peruntukan tersebut merupakan komitmen berterusan Kerajaan untuk membantu Kerajaan Negeri memajukan Kedah demi keharmonian rakyatnya, katanya.
Ini diperlihatkan daripada peruntukan yang terus bertambah daripada Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) malah disebutkan dalam belanjawan tahun ini.
Dalam lawatannya ke negeri itu hari ini, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan tambahan yang sedia ada sebagai komitmen kerajaan pusat untuk rakyat Kedah keseluruhannya.
"Kalau RM1.3 bilion yang diperuntukkan adalah ‘dedak’, orang yang bercakap tentang dedak itulah selama ini telah memberikan dedak kepada rakyat Kedah. Sebaliknya, Menteri Besar dan juga Perdana Menteri telah menghimpunkan seluruh tenaga dan pemikiran untuk memberikan peruntukan yang besar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Muafakat Kedah di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar siang tadi.
Turut hadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Barisan Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri, ketua-ketua jabatan serta rakyat tempatan.
Ahmad Zahid juga berkata Kerajaan Persekutuan menghargai komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan Kedah terus menjadi penyumbang utama kepada sektor makanan negara.
Beliau juga turut berpuas hati dengan muafakat yang ditampilkan di peringkat Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ahmad Bashah yang berjaya melonjak hasil negeri sebanyak 20 peratus pada tahun lepas.