Pembangkang ditempelak asyik desak PM letak jawatan

Bernama
Oktober 28, 2015 07:54 MYT
NOH: Di negara Timur Tengah keadaan menjadi huru-hara hanya semata-mata mereka mendesak pemimpinnya meletak jawatan. - Gambar fail
Tindakan pembangkang yang sering kali mendesak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan membangkitkan rasa tidak puas hati seorang penyokong kerajaan di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) yang membidas sikap pembangkang itu mengingatkan rakyat negara ini supaya menjadikan apa yang berlaku di negara Timur Tengah sebagai iktibar.
"Di negara Timur Tengah keadaan menjadi huru-hara hanya semata-mata mereka mendesak pemimpinnya meletak jawatan," katanya ketika membahaskan Bajet 2016 di Dewan Rakyat, di sini, Rabu.
Katanya keterujaan pembangkang yang berterusan membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula seolah-olah mempertikaikan kreadibiliti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai wakil pembangkang.
"Tadi saya dengar diungkit lagi, apakah kita tidak percaya kepada PAC yang terdiri daripada pembangkang juga. Apakah kita tidak percaya kepada ketua audit kita?," soalnya yang mengakui bersetuju isu 1MDB diselesaikan segera.
Hujah Noh semakin berapi apabila Tian Chua (PKR-Batu) bangkit mencelah dan menyifatkan Barisan Nasional (BN) yang sering mendesak menukar pemimpin.
Noh sebaliknya memulangkan paku buah keras, dengan membangkitkan kepincangan kepimpinan PKR di Selangor yang disifatkan mengamalkan dwistandard apabila tidak mengambil tindakan terhadap Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang didakwa meluluskan tiga projek lebuh raya di negeri itu tanpa memaklumkan kepada parti.
Sedangkan katanya, bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat kerana didakwa membuat perjanjian air tanpa merujuk kepada parti.
"Jika Bandar Tun Razak (Khalid) dahulu kena pecat sebab dikatakan membuat perjanjian air tanpa merujuk kepada parti, oleh itu dalam isu projek lebuh raya ini Menteri Besar Selangor (Mohamed Azmin) pun kena dipecat juga," katanya.
Noh menyifatkan Abdul Khalid seorang ahli politik yang bijak sehingga berjaya membawa kemenangan kepada pakatan pembangkang dengan merampas negeri Selangor daripada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 2008, namun dipaksa meletak jawatan tahun lepas hanya kerana tidak akur dengan kehendak parti.
"Oleh itu sekiranya Azmin tidak dipecat ini jelas menunjukkan PKR mengamalkan dwistandard," katanya.
#BN #Dewan Rakyat #letak jawatan #Najib Razak #Noh Omar #pembangkang #Perdana Menteri
;