Pembangkang akan gagal gugat perpaduan kabinet Sarawak - Adenan
Bernama
November 18, 2014 14:32 MYT
November 18, 2014 14:32 MYT
Perpaduan di Sarawak akan terus kukuh walaupun ada cubaan oleh pembangkang untuk menggugatnya atas isu ikrar integriti yang cuba digembar-gemburkan mereka, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem di sini hari ini.
Beliau berkata menteri dan menteri muda Sarawak sememangnya akan menandatangani ikrar itu, tetapi adalah tidak adil bagi pembangkang menuduh kononnya ada sesuatu yang cuba mereka sembunyikan, menyebabkan ikrar itu tidak ditandatangani.
"Sebarang cubaan oleh pembangkang untuk melaga-lagakan saya dan anggota Kabinet saya akan gagal dan akan sentiasa gagal. Kami bukannya bodoh untuk mendengar (tuduhan-tuduhan) mereka. Kami berpegang kepada perpaduan Kabinet," katanya pada sidang akhbar di sini.
Adenan berkata anggota-anggota Kabinet negeri akan menandatangani ikrar itu selepas semua jabatan kerajaan negeri, badan-badan berkanun dan syarikat serta anak syarikat yang berkaitan telah menandatangani ikrar integriti masing-masing yang telah diperakui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Untuk mendapatkan perakuan terhadap ikrar-ikrar itu, katanya, badan-badan kerajaan itu perlu melalui suatu proses yang dipantau oleh SPRM dan beliau berharap proses ini akan disegerakan sebelum dipanjangkan kepada menteri-menteri dan menteri muda.
Sementara itu, Adenan berkata beberapa catatan dalam media sosial telah menyalahtafsir ucapan beliau semasa merasmikan majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) yang melibatkan agensi kerajaan, pemegang lesen pembalakan dan kontraktor di sini semalam.
Menurutnya, beliau tidak ada menyebut yang pemenang lesen pembalakan terlibat dengan rasuah tetapi lebih kepada menasihatkan mereka supaya memantau kegiatan kontraktor mereka, subkontraktor, pengurus kem dan pekerja di lapangan.
Kenyataan beliau "jangan cuba main-main dengan saya" ditujukan kepada individu yang terbabit dengan kegiatan pembalakan haram di Sarawak serta kepada pegawai penguat kuasa yang memudahkan kegiatan itu.
Mengenai pendiriannya tidak mengeluarkan sebarang lesen pembalakan baharu, beliau menjelaskan bahawa ini tidak termasuk lesen pendudukan (OT) atau surat hak milik sementara (PL) yang dikeluarkan untuk kerja penebangan di tanah persendirian atau tanah adat (NCR) yang telah diiktiraf bagi tujuan penanaman.