Pembahagian kerusi yang saksama mampu bentuk kerajaan lebih kukuh - Presiden Pas
Fauzi Suhaimi
Disember 13, 2020 15:46 MYT
Disember 13, 2020 15:46 MYT
KUALA LUMPUR: Pembahagian kerusi yang saksama antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) mampu membentuk kerajaan yang lebih kukuh pada masa akan datang.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, meskipun pembahagian kerusi itu penting, namun pihaknya tidak bersifat gopoh memandangkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) masih belum diketahui.
"Pembahagian kerusi yang saksama ini akan dapat membentuk kerajaan yang lebih kukuh pada masa akan datang.
"Adapun (pembahagian) kerusi itu penting buat masa ini, tetapi oleh kerana kita tidak tahu lagi bila PRU-15 akan diadakan, jadi kita tidak perlu gopoh dalam hal ini," katanya dalam sesi Dialog Bersama Media di sini pada Ahad.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi menyifatkan cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mewujudkan satu gagasan besar adalah suatu keputusan yang positif.
Bagaimanapun, katanya untuk merealisasikannya, perkara itu memerlukan sedikit masa memandangkan belum ada tarikh khusus PRU-15 akan diadakan.
"Kita menganggap cadangan berkenaan sebagai positif kerana sehingga kini, majoriti pemimpin dalam PN dan MN bersetuju dengan cadangan (gabungan) itu," katanya.
#Abdul Hadi Awang
#PPBM
#PAS
#pilihan raya umum
#pembahagian kerusi
#MN
#Muafakat Nasional
#Perikatan Nasional
#PRU-15