Pembahagian kerusi antara parti komponen PN hampir selesai - Faizal Azumu

Bernama
Ogos 22, 2022 10:50 MYT
Ahmad Faizal berkata berlaku juga pertindihan dalam proses tersebut namun jumlahnya terlalu sedikit. -Gambar fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) sudah menyelesaikan pembahagian kerusi bagi hampir semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen antara parti-parti komponen dalam gabungan tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata berlaku juga pertindihan dalam proses tersebut namun jumlahnya terlalu sedikit.
"Kami akan muktamadkan tidak berapa lama lagi dan semuanya berjalan dengan baik. Alhamdulillah saya dapati parti-parti komponen dalam PN satu hati dan apabila keputusan dibuat nanti semua akan akur dan patuh kepada keputusan yang dibuat pucuk pimpinan.
"Terlalu sikit yang bertindih yang memerlukan kami mengadakan lagi rundingan.
"Jika masih lagi bertindih ia akan kami bawa dan sampaikan ke peringkat mesyuarat antara presiden parti-parti komponen," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Himpunan PN Peringkat Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.
Ditanya mengenai jentera pilihan raya, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata parti-parti komponen PN sudah bersiap siaga menghadapi PRU15.
-- BERNAMA
#Ahmad Faizal Azumu #PN #PRU15 #pembahagian kerusi
;