Peluang BN menang di Parlimen Pokok Sena cerah

Bernama
April 24, 2018 12:34 MYT
SAID ALI: Saya yakin dengan semangat yang ada ini kita akan berjaya merampas kembali semua kerusi dalam Parlimen Pokok Sena. - Gambar fail/BERNAMA
Ketua Bahagian UMNO Pokok Sena Datuk Said Ali Syed Rastan yakin peluang Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Pokok Sena dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada, Bukit Pinang dan Derga pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah cerah.
Beliau berkata keyakinan itu timbul berdasarkan semangat dan komitmen kerja jentera UMNO serta parti komponen yang kerap turun padang mendekati rakyat setempat sejak empat tahun lepas, selain sokongan dan penyertaan positif rakyat dalam setiap program anjuran BN.
"Insya-Allah kita yakin. Sekarang ini UMNO menang satu DUN sahaja iaitu DUN Bukit Lada. Insya-Allah PRU14 ini, daripada angka-angka yang saya tengok dan semangat kerja semua anggota parti serta komponen BN sama ada Melayu, Cina ataupun India, saya nampak perubahan yang agak ketara.
"Saya yakin dengan semangat yang ada ini kita akan berjaya merampas kembali semua kerusi dalam Parlimen Pokok Sena," katanya kepada Bernama, di sini.
Beliau berkata dari segi gerak kerja, BN Kedah sejak empat tahun lepas memberi tumpuan kepada daftar pemilih dan menyelesaikan isu-isu masyarakat setempat terutamanya kebajikan rakyat di kawasan itu termasuk ibu tunggal, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Said Ali berkata bantuan kebajikan juga diberikan secara menyeluruh tanpa mengira bangsa dan fahaman politik walaupun kawasan itu dikatakan sebagai kubu kuat Pas.
"Contohnya kita bagi bantuan pakaian sekolah, bantuan masuk universiti, benda-benda macam ini saya tengok memberi impak kepada masyarakat. Mereka tengok UMNO ini bukan sebagai parti politik yang perjuangannya semata-mata untuk membela anggota sahaja tetapi sebagai parti yang memerintah, kita juga perlu tangani masalah rakyat secara keseluruhannya," katanya.
Beliau berkata meskipun BN hanya memenangi satu kerusi iaitu di DUN Bukit Lada, parti itu tidak pernah meminggirkan kawasan yang kalah, malah membawa masuk pelbagai pembangunan termasuk rancangan untuk membina Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di parlimen itu pada masa depan.
"Pokok Sena ini daerah baharu, masih banyak jabatan dan agensi persekutuan tak ada. Dalam manifesto PRU14 Parlimen Pokok Sena, kita tumpu kepada untuk mencadangkan kerajaan pusat supaya wujudkan satu RTC di Pokok Sena. Sekarang ni orang Pokok Sena pergi Alor Setar atau Padang Terap untuk ke pejabat-pejabat kerajaan," katanya.
Ditanya mengenai peluang penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar pada pilihan raya umum kali ini, beliau berkata walaupun memenangi kerusi itu selama dua penggal, ia bukan laluan mudah kepada Naib Presiden Amanah itu untuk sekali lagi mengulangi kemenangan pada PRU14.
Said Ali berkata Mahfuz kini sudah tidak lagi bersama Pas dan atas faktor itu, peluangnya untuk memenangi kerusi berkenaan mungkin agak tipis.
Ditanya kemungkinan Pas akan memenangi kerusi parlimen itu berikutan Pokok Sena adalah kubu kuat Pas, beliau tidak menafikan parti itu adalah saingan terdekat BN pada PRU14 nanti.
"Secara tradisinya di Pokok Sena ini majoriti pengundi Melayu masih lagi dengan UMNO. Pas adalah parti kedua dari dulu hingga sekarang. Pas menang di Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semata-mata kerana pada masa itu ada tsunami Cina, daripada 14,000 pengundi Cina, kita hanya dapat lima peratus.
"Saya tengok sekarang alhamdulillah ada perubahan yang agak ketara dari segi undi Cina. Kalau tak dapat setengah pun kita dapat jumlah yang agak ketara juga serta dapat menampung kekurangan sebelum ini," katanya.
Beliau berkata calon-calon yang akan dikemukakan BN bagi kerusi parlimen dan tiga DUN di kawasan itu adalah calon yang dekat dengan rakyat.
"Kita yakin dengan calon-calon yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat ini adalah mereka yang boleh mendekati rakyat," katanya.
Parlimen Pokok Sena mempunyai kira-kira 86,000 pengundi dengan 81.44 peratus adalah Melayu, Cina (15.45 peratus), India (2.51 peratus) dan lain-lain (0.6 peratus).
Pada PRU13, di Parlimen Pokok Sena, Mahfuz yang ketika itu mewakili Pas menang dengan majoriti 3,935 undi menewaskan calon BN Shahlan Ismail dengan memperoleh 36,198 undi.
Di DUN Bukit Lada, calon BN Ahmad Sudin memperoleh 12,664 undi mengalahkan calon Pas Ahmad 'Izzat Mohamad Shauki yang mendapat 11,340 undi dengan majoriti 1,324 undi.
Di DUN Bukit Pinang, Romani Wan Salin (Pas) mendapat 12,152 undi mengalahkan Mohd Mukhtar Noor (BN) yang mendapat 10,480 undi dengan majoriti 1,672 undi.
Di DUN Derga yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Tan Kok Yew (DAP) yang memperoleh 10,358 undi, pencabarnya Cheah Soon Hai (BN) dan Abdul Fisol Mohd Isa (Berjasa) masing-masing hanya memperoleh 9,202 dan 2,061 undi. Tan memperoleh majoriti 1,156 undi.
Mahfuz dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena sebagai calon Amanah mewakili Pakatan Harapan manakala PAS bakal mempertaruhkan muka baharu, legenda bola sepak Kedah Muhamad Radhi Mat Din.
-- BERNAMA
#Amanah #Barisan Nasional #BN #Bukit Lada #Bukit Pinang #Derga #Kedah #Mahfuz Omar #MalaysiaMemilih #OKU #PAS #pokok sena #PR1MA #PRU14 #RTC #Said Ali Syed Rastan #UMNO
;