Peluang Anwar untuk bebas ditentukan 5 hakim esok

Astro Awani
Disember 13, 2016 13:34 MYT
Anwar membuat semakan kehakiman ke atas keputusan penjara lima tahun yang dikenakan terhadap beliau. - Gambar Astro AWANI/Shahir OMar
Peluang untuk Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas dari penjara Kajang akan diketahui esok bila Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan keputusan mengenai permohonan semakan yang dibuat oleh bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu berhubung sabitan Liwat II.
Ia merupakan peluang terakhir Anwar menggunakan saluran undang-undang untuk mencabar keputusan sebelum ini yang dibuat Mahkamah Persekutuan yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas beliau atas kesalahan meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan lapan tahun lepas.
Keputusan Mahkamah Persekutuan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dengan mengetepikan pembebasannya.
Keputusan semakan kehakiman itu akan disampaikan oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.
Selain Zulkefli, empat hakim lain dalam panel itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Hakim Tan Sri Richard Malanjum, Hakim Tan Sri Hasan Lah, Hakim Tan Sri Abu Samah Nordin dan Hakim Tan Sri Zaharah Ibrahim.
Manakala Anwar pula diwakili bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram,yang mendakwa terdapat konspirasi politik terhadap anak guamnya.
Bagi menunjukkan solidariti terhadap Anwar, PKR dijadualkan mengadakan himpunan di luar Istana Kehakiman esok.
#Anwar Ibrahim #liwat #Mahkamah Persekutuan #PKR #semakan kehakiman
;