'Pelik pembangkang ni, protes tapi masuk semula untuk angkat sumpah'
Sinar Harian
Julai 16, 2018 17:35 MYT
Julai 16, 2018 17:35 MYT
Tindakan pembangkang keluar dewan pada mesyuarat pertama Parlimen ke-14 hari ini bagi membantah pelantikan Speaker Dewan Rakyat mendapat pelbagai kritikan.
Ahli Parlimen Temerloh, Anuar Tahir berkata pemilihan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof tidak sepatutnya dijadikan isu.
Katanya, apa yang dilakukan pembangkang itu hanya bertujuan untuk meraih perhatian.
"Inilah sikap orang baru jadi pembangkang nak belajar cara untuk membantah. Mereka protes keluar tetapi kemudian masuk semula dewan untuk angkat sumpah.
"Kalau betul mereka tak boleh terima, kena bantah betul-betul lah. Bagaimanapun, saya ucapkan selamat berlatih jadi pembangkang," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, kekecohan pagi tadi adalah satu sesuatu yang 'sihat'.
"Kita dah melihat pertukaran kerajaan selepas 61 tahun tanpa pertumpahan darah. Maka apalah sangat keluar dewan.
"Saya hargai ahli Parlimen pembangkang yang duduk dalam dewan kerana mengikut peraturan mesyuarat dan memastikan upacara angkat sumpah berjalan dengan baik," katanya
Bagi Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, pembangkang sepatutnya perlu bersikap lebih profesional.
"Ironinya mereka membantah Speaker tetapi kemudiannya mengangkat sumpah di hadapan beliau.
"Saya harap mereka boleh bersikap lebih profesional seperti Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Anifah Aman," katanya.
#Anifah Aman
#Dewan Rakyat
#Khairy Jamaluddin
#Mohamad Ariff Md Yusof
#Parlimen
#protes
#raih perhatian