Pelbagai ugutan, gertakan terhadap Presiden supaya UMNO dibubarkan - Ahmad Zahid

Firdaus Azil
Januari 15, 2022 17:32 MYT
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata perancangan yang beliau gambarkan sebagai licik oleh musuh-musuh UMNO itu bukan sahaja tidak kesampaian, malah menjadikan UMNO lebih mara. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ugutan dan gertakan terhadap Presiden UMNO supaya parti itu dibubarkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 berakhir, merupakan antara usaha musuh mereka untuk melemahkan parti itu, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, tidak cukup dengan itu, sebilangan besar pemimpin parti yang lemah dan goyah, ditawarkan keselesaan, jawatan, atau kedudukan untuk lompat parti.
Selain itu, katanya lagi, ada juga hasutan dari pihak tertentu supaya ahli-ahli UMNO berasakan parti itu tiada lagi masa depan.
“Muslihatnya agar UMNO bertambah lemah seusai tewas PRU-14 dan lama kelamaan musnah sendiri. Seterusnya mereka berusaha menggunakan saluran undang-undang untuk UMNO diisytiharkan parti yang tidak sah.
“Syukur ke hadrat Ilahi UMNO berjaya mendepani segala perancangan buas itu dengan bijaksana dan bangkit menentang. Selepas menyedari kesemua usaha mereka tidak berhasil, UMNO cuba pula dikawal supaya menuruti kehendak,” katanya lagi.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika memuatnaik perkongsian itu, bersekali dengan gambar beliau bersama-sama Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang sewaktu Muafakat Nasional masih dilihat utuh.
Namun umum mengetahui Pas di bawah pimpinan Ahli Parlimen Marang itu lebih selesa bersama-sama dengan seteru UMNO, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah Perikatan Nasional.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata lanjut, perancangan yang beliau gambarkan sebagai licik oleh musuh-musuh UMNO itu bukan sahaja tidak kesampaian, malah menjadikan UMNO lebih mara.
Katanya lagi, apabila parti itu semakin berpadu, Barisan Nasional kembali diyakini rakyat sehingga menang besar dalam Pilihan Raya Negeri Melaka.
“Faktor utama kepada kekuatan dan kebangkitan UMNO itu kerana kemuafakatan para ahlinya di peringkat akar umbi. Sememangnya UMNO milik akar umbi, manakala barisan pimpinannya selaku pemegang amanah.
“Telah terbukti sinergi ketetapan akar umbi UMNO yang kemudian diterjemahkan pimpinannya adalah tepat,” tegasnya lagi.
Ahmad Zahid berkata, beliau selaku Presiden UMNO, dan barisan pimpinan sedia ada tidak akan sesekali berpaling dan mengabaikan suara akar umbinya.
“Biarlah resmi UMNO ini cuba 'didalilkan' sebagai berorientasikan barat selagi tidak menyanggah hukum Allah S.W.T.
“UMNO akan terus mendengar suara akar umbi apatah suara rakyat seperti yang tersemat dalam sejarah panjang perjuangannya,” tegasnya lagi.
#politik #UMNO #Ahmad Zahid Hamidi #PAS
;