Pelantikan TPM dari Borneo, bertepatan semangat politik baharu - Penganalisis

Syafik Shukri Jalil
Ogos 19, 2021 18:10 MYT
Selepas 58 tahun pembentukan Malaysia, ini masanya ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak dipertimbang untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri. - foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pemilihan calon Timbalan Perdana Menteri dari Sabah dan Sarawak dalam kabinet baharu yang bakal dibentuk oleh Perdana Menteri baharu sebagai bertepatan dengan semangat politik baharu.
Menurut Felo Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, ini bertepatan dengan tujuan asal penubuhan Malaysia untuk memastikan taraf Sarawak dan Sabah sama statusnya dengan Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.
Untuk itu, selepas 58 tahun pembentukan Malaysia, ini masanya ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak dipertimbang untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.
‘’Satu formula baharu bagaimana merencanakan memacu Malaysia ke hadapan dalam konteks pembinaan negara bangsa, integrasi nasional dan juga memastikan jurang Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung Malaysia dapat dirapatkan dan wujud keseimbangan daripada pembangunan dan sebagainya.
‘’Maka saranan Timbalan Ketua Menteri Sarawak (Tan Sri James Jemut Masing) itu telah dikemukakan berapa tahun dahulu dan ini masa yang tepat dan sesuai dengan semangat yang kita bentuk selepas ini,’’ katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Jeniri berkata demikian sebagai respon dari kenyataan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing yang mencadangkan agar pemilihan ahli parlimen GPS dalam pembentukan kerajaan baharu.
BACA: 'Lantikan TPM sewajarnya dari Sabah, Sarawak' - Masing
BACA: Calon GPS 'sesuai' pegang jawatan TPM - Masing
BACA: PN setuju secara bersyarat, namakan Ismail Sabri sebagai PM
BACA: Calon PM ke-9: 17 Ahli Parlimen GPS, satu Bebas selesai menghadap Agong secara maya
Selain itu jelasnya, isu jumlah ahli parlimen GPS yang sedikit bukan alasan untuk menafikan hak Sarawak untuk diberi hak menganggotai barisan kanan kabinet.
Ini kerana tanpa sokongan ahli parlimen GPS, tidak mungkin Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dapat dibentuk sebelum ini.
Namun katanya sekiranya tiada pemimpin dari Sabah dan Sarawak dipilih untuk mengisi jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan itu, maka satu portfolio khusus wajar diberikan dalam usaha membantu pembangunan yang seimbang buat dua negeri itu.
Situasi Politik | Pembentukan kerajaan baharu, siapa PM ke-9? - Reaksi Jeniri Amir
‘’Saya fikir salah satu langkah terbaik untuk pastikan Sabah dan Sarawak dan mengambil kira juga kepentingan seluruh Malaysia adalah dengan melantik seorang pemimpin kanan dari Sarawak untuk menjawat jawatan Menteri Luar Bandar dan Wilayah.
‘’Ini juga untuk pastikan kita dapat pastikan pembangunan di luar bandar daripada pelbagai segi termasuk dari segi prasarana, sekolah, jalan raya, klinik dan seumpamanya kerana hanya orang Sarawak dan Sabah yang tahu masalah yang wujud di kedua-dua negeri ini,’’ tambahnya.
#Politik Malaysia #perdana menteri baharu #Timbalan Perdana Menteri #Pemimpin GPS #calon TPM Sabah #calon TPM Sarawak #Gabungan Parti Sarawak #Perikatan Nasional
;