Pelantikan Speaker Dewan Rakyat perlu ikut undang-undang
Muzaffar Syah Mallow
Julai 13, 2020 10:25 MYT
Julai 13, 2020 10:25 MYT
AMALAN yang selalu dibuat dalam negara ini sama ada di peringkat persekutuan dan negeri, pelantikan Speaker atau Yang di-Dipertua Dewan Rakyat dan dua timbalannya perlu mendapat persetujuan ahli dewan.
Perkara 57 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa “Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih (a) sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, seseorang sama ada yang menjadi ahli Dewan Rakyat atau yang layak dipilih menjadi ahli yang sedemikian dan b) dua orang Timbalan Yang Dipertua daripada kalangan ahli Dewan Rakyat.
Namun, Yang Dipertua Dewan Rakyat serta timbalan-timbalannya boleh meletak jawatan atas faktor – faktor tertentu. Perkara 57 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa “Yang Dipertua boleh pada bila – bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, dan hendaklah mengosongkan jawatannya
(a) apabila Dewan Rakyat bermesyuarat buat pertama kali selepas suatu pilihan raya umum;
(b) apabila dia terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat melainkan oleh sebab pembubarannya atau, jika dia menjadi ahli semata-mata menurut kuasa perenggan (b) Fasal (la), apabila dia terhenti berkelayakan menjadi ahli;
(bb) apabila telah hilang kelayakan di bawah Fasal (5); dan
(c) jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian.
Perkara 57 (2A) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan bahawa “Seseorang Timbalan Yang Dipertua boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, dan hendaklah mengosongkan jawatannya (a) apabila dia terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat; (b) jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian.
Mengenai undi tak percaya terhadap speaker dan lain-lain, ianya boleh diberi pertimbangan untuk dilakukan.
Rujukan terhadap perkara ini boleh dilakukan dengan melihat kepada tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang negeri Perak pada tahun 2016 yang lalu yang sepakat mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Speaker DUN Perak ketika itu.
Namun usul berkenaan telah ditolak setelah proses perbahasan terhadap usul berkenaan dilakukan.
Pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah penting bagi menjamin kelancaran dan kelangsungan institusi Parlimen di negara kita.
Oleh sebab itu, calon-calon yang dipilih mestilah memenuhi kriteria yang dinyatakan di bawah Perkara 57(1) (a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan bagi merealisasikan hasrat ini.
Dalam bahasa yang lebih mudah, calon-calon Speaker Dewan Rakyat boleh dipilih dalam kalangan ahli Dewan Rakyat atau mana-mana rakyat Malaysia yang layak bertanding dalam pilihan raya Persekutuan (bagi kerusi Parlimen) iaitu seseorang yang telah mencapai umur 21 tahun dan tidak hilang kelayakannya untuk bertanding.
Tetapi, jika Speaker dilantik dalam kalangan bukan ahli Dewan Rakyat, beliau hendaklah mengangkat sumpah di hadapan Dewan Rakyat dan dianggap sebagai salah seorang anggota Dewan Rakyat seperti yang termaktub dibawah Perkara 57 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Selain daripada Perlembagaan Persekutuan, terdapat juga Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang perlu dipatuhi bagi pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat ini dibuat oleh Dewan Rakyat menurut Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, bila-bila jawatan Tuan Yang Dipertua itu kosong, baik dengan sebab dibubarkan Parlimen atau dengan lain-lain sebab, maka Majlis, sebaik-baik cukup bilang ahlinya, hendaklah memilih Tuan Yang Dipertua.
Dari segi aturan pemilihan Speaker pula ia sudah jelas termaktub di bawah Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Antara intipati atau syarat yang dinyatakan di bawah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat mengenai aturan pemilhan Speaker adalah seperti berikut:
Nama-nama yang ingin dicalonkan oleh mana-mana Ahli Dewan Rakyat mestilah mendapat persetujuan daripada calon tersebut, nama-nama tersebut mestilah dikemukakan kepada Setiausaha Dewan Rakyat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat pertama bermula, ketika sesi pencalonan, seseorang ahli Dewan Rakyat yang berkenaan hendaklah mencadangkan nama tersebut secara lisan dan diikuti dengan sokongan tanpa sebarang perbahasan / perbincangan, dan sekiranya hanya seorang yang dicalonkan, Setiausaha Dewan hendaklah mengisytiharkan nama calon tersebut bahawa beliau telah dipilih atau sekiranya terdapat lebih daripada seorang calon, maka pemilihan akan dilakukan menerusi undi bersurat (menyatakan pilihan menerusi kertas undi) dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.
Pelantikan Speaker atau Yang Dipertua Dewan rakyat dan dua timbalannya adalah penting bagi memastikan perjalanan proses demokrasi dalam Parlimen kita berada dalam keadaan yang baik.
Peranan yang dimainkan oleh Speaker atau Yang Dipertua Dewan rakyat dan dua timbalannya adalah penting supaya segala urusan dalam dewan dapat dilaksanakan mengikut segala peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan serta bagi mengelakkan suasana dalam dewan menjadi huru-hara dan kelam-kabut.
* Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI
#Dewan Rakyat
#Parlimen
#pembangkang
#pemilihan
#Peraturan Majlis Mesyuarat
#rakyat Malaysia
#Sidang Parlimen
#Speaker
#usul
#Yang Dipertua