'Pelantikan Pengerusi KADA bukan sebagai ganjaran' - Khalid
Sinar Harian
Disember 8, 2024 14:00 MYT
Disember 8, 2024 14:00 MYT
KOTA BHARU: Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang baharu, Khalid Abdul Samad menafikan pelantikannya ke agensi itu sebagai baksis (upah atau ganjaran).
Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) sebaliknya memberitahu, beliau diamanahkan dengan tanggungjawab bagi mencapai tujuan dan matlamat ditetapkan kerajaan khususnya supaya hasil KADA terutama pengeluaran padi negara dapat ditingkatkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap beras import.
Tegas beliau, KADA ialah agensi yang mempunyai tanggungjawab dan amanah besar membangunkan industri pertanian dalam menjamin keterjaminan makanan serta beliau datang ke KADA bukan mahu menaikkan atau jatuhkan mana-mana pihak.
“Pelantikan itu bertujuan mencapai tujuan dan matlamat agensi, bukan sebagaimana dikatakan segelintir pihak mendakwa pelantikan ini adalah baksis iaitu jawatan diberikan sebagai balasan atau ganjaran.
"Saya mahu naikkan hasil pertanian dalam kawasan KADA dan saya berharap semua warga agensi ini mempunyai matlamat yang sama,” katanya dalam ucapa sempena Majlis Penyerahan Tugas Pengerusi KADA, di Pejabat KADA di Lundang di sini pada Ahad.
Menurut Khalid, kepercayaan diberikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu diyakini dapat menaikkan hasil padi KADA melalui kerjasama semua pihak.
“Saya sedar saya bukan berlatarbelakangkan bidang pertanian, sebaliknya bidang kejuruteraan sebelum beralih jadi ahli perniagaan dan ahli politik, namun dengan sokongan KADA, kita boleh bekerjasama mencapai matlamat menteri serta penuhi keperluan negara.
“Hebat macam mana pun seseorang individu tidak akan dapat capai apa-apa tanpa sokongan padu daripada organisasi, ketepikan soal politik, yang nak sokong mana-mana parti, Pas, Bersatu atau UMNO, itu hak masing-masing,” katanya.
Sebelum ini, jawatan terbabit disandang Muhammad Husain yang juga Pengerusi Amanah negeri Kelantan. - Sinar Harian