Pelantikan Onn Hafiz atas semangat permuafakatan - Pemuda UMNO Johor

Hasimi Muhamad
Disember 7, 2023 16:21 MYT
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor (depan, empat, kanan) dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menggantikan Khaled. - Foto/ UMNO Johor
KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang baharu, berkuat kuasa hari ini disifatkan sebagai ketetapan yang dibuat atas semangat permuafakatan.
Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros berkata pengumuman oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu disambut dalam suasana penuh kerukunan dan suatu tanda aras ketokohan dalam kepimpinan tertinggi UMNO Johor.
"Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menyambut baik pengumuman oleh Ahmad Zahid dan menzahirkan setinggi-tinggi ucapan tahniah Onn Hafiz," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata berhadapan iklim politik negara yang saban hari diselubungi keberantakan dan pergeseran, UMNO Johor menampilkan teladan terbaik.
Ia sekali gus jelas beliau, mengulangi penegasan buat kesekian kalinya bahawa tidak ada yang lebih tinggi dan utama daripada kepentingan Johor.
Beliau menambah melalui permuafakatan yang akan mengukuhkan lagi sinergi antara kepimpinan Kerajaan Negeri dan UMNO Johor, ia diharap akan menjadi pencetus kepada Johor yang maju, stabil dan makmur.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam satu surat mengesahkan Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang baharu menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Selain Onn Hafiz, turut dilantik ke jawatan sama ialah Datuk Rozi Mamat bagi menggantikan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.
Menerusi surat yang dimuat naik oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, Ahmad Zahid berkata pelantikan berkenaan selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO.
#onn hafiz ghazi #Ahmad Zahid Hamidi #UMNO #pengerusi UMNO negeri
;