Pelantikan Kabinet tidak adil - Mohamad Hasan

Astro Awani
Mac 13, 2020 00:10 MYT
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan pelantikan Jemaah Kabinet tidak adil. Foto: Astro AWANI/ Shahir Omar
"UMNO selaku blok Ahli Parlimen terbesar diketepikan secara tidak adil."
Itu yang diluahkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkenaan pelantikan jemaah Kabinet baharu.
Mohamad menerusi kenyataan di Facebooknya menjelaskan, terdapat pelbagai desas-desus berhubung pelantikan Kabinet yang baharu bermula, dari ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri sehinggalah kepada dakwaan bahawa komposisi Kabinet adalah berat sebelah.
"Pertama, pemberian portfolio kementerian yang tidak kritikal. Keadaan ini sama sekali tidak setimpal dengan jumlah Ahli Parlimen yang disumbangkan oleh UMNO dan tahap pengalaman yang dimiliki oleh mereka.
"Kedua, keanggotaan Kabinet secara jelas memberikan manfaat yang sangat besar kepada blok Bersatu dan Datuk Seri Azmin Ali.
"Sekalipun ia bukanlah kepentingan paling afdal untuk UMNO memegang kedudukan Kerajaan dalam iklim politik semasa, adalah mustahak untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin menyantuni saiz perwakilan parti dalam kerajaan atas dua dasar," ujarnya.
Ini kerana jelasnya, pertama adalah sistem Westminster yang mana Kabinet mengamalkan tanggungjawab kolektif, yang hanya akan berkesan jika setiap parti diwakili dengan jumlah yang sewajarnya.
"Perkara ini sangat kritikal kerana, hanya dengan mempunyai Kabinet yang bersatu hati, Kerajaan boleh bergerak secara bersama dengan para pendukungnya. Hanya dengan yang demikian, Kerajaan boleh memfokuskan kepada urusan tadbir urus dan pemerintahan.
"Kedua, selama ini kita sememangnya mengamalkan perwakilan yang setara dengan saiz yang diwakili dan ia merupakan sistem yang berjaya. Malah, Pakatan Harapan sendiri mengamalkan pendekatan yang sama semasa menjadi Kerajaan," katanya.
Maka, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, dalah lebih penting dalam keadaan semasa yang menyaksikan kita sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang sukar.
Dengan cabaran pandemik COVID-19, kejatuhan pasaran saham dan ketidaktentuan ekonomi, kita tidak mempunyai ruang dan masa untuk berlengah dan melakukan kesilapan.
#ahli Parlimen #Datuk Seri Mohamad Hasan #kabinet #Timbalan Presiden UMNO #UMNO
;