Pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin boleh stabilkan politik - Nazri

Irwan Muhammad Zain
Julai 7, 2021 17:59 MYT
Nazri mengalu-alukan pelantikan tersebut dan menganggap ia tanda keikhlasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap UMNO. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan mampu menstabilkan politik dalam negeri, kata Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Nazri menjelaskan pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin juga dapat mengukuhkan pentadbiran untuk melawan COVID-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan.
Beliau juga mengalu-alukan pelantikan tersebut dan menganggap ia tanda keikhlasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap UMNO.
"Selaku ahli yang setia kepada parti, saya mengalu-alukan pelantik Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Hishammuddin sebagai Menteri Kanan
"Pelantikan ini memandakan keikhlasan Tan Sri Muhyiddin terhadap UMNO dan menjadi tanggungjawab Ahli-Ahli Parlimen UMNO untuk memastikan kerajaan ini dipertahankan," katanya kepada Astro AWANI.
BACA: Ismail Sabri dilantik TPM, Hishammuddin Menteri Kanan Luar Negeri - PMO
Nazri juga berharap dengan pengumuman yang dibuat ini, UMNO boleh berbincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk bergerak sebagai satu pasukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Beliau menegaskan kerjasama UMNO, Bersatu dan Pas amat penting bagi memastikan dapat mencapai kemenangan besar dalam menghadapi PRU15.
"Saya berharap UMNO dapat duduk bersama Bersatu dan Pas berbincang sebagai satu pasukan bagi menghadapi PRU15 nanti.
"Hanya dengan kerjasama kukuh ketiga-tiga parti amat penting kerana ia dapat memastikan kemenangan besar dalam pilihan raya umum akan datang," katanya lagi.
Pada Rabu, Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Hishammuddin sebagai Menteri Kanan Luar.
BACA: Saya sedar dan insaf, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar
BACA: MCA sambut baik pelantikan Ismail Sabri sebagai TPM
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), Ismail Sabri akan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.
Manakala Hishammuddin akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini disandang oleh Ismail Sabri.
#ismail sabri yaakob #Hishammuddin Hussein #Timbalan Perdana Menteri #Menteri Kanan #Mohamed Nazri Abdul Aziz #Muhyiddin Yassin #Pandemik COVID-19
;