Pelancaran GRS bertepatan dengan kehendak rakyat Sabah
Eleanor Michelle Patrick
Mei 26, 2022 16:09 MYT
Mei 26, 2022 16:09 MYT
KOTA KINABALU: Pelancaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Sabtu ini dilihat mampu meneruskan kelangsungan, dan kestabilan politik negeri Sabah sekali gus membawa lebih banyak pembaharuan.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khas berkata, ia jelas apabila setiap parti komponen bekerjasama membentuk gabungan kukuh demi merealisasikan kemakmuran negeri Sabah.
"Saya yakin, usaha dan kerjasama yang dibentuk daripada pelbagai latar belakang serta tunjang perjuangan ini akan membuahkan hasil yang berimpak besar khasnya kepada pembangunan Sabah sekali gus mencapai hasrat Sabah Maju Jaya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu Khairul Firdaus juga menyeru semua pihak untuk terus memainkan peranan dalam mengekalkan segala keharmonian di negeri itu.
Sambil menyifatkan pelancaran GRS Sabtu ini satu usaha yang bertepatan dengan keperluan dan kehendak rakyat Sabah, beliau berkata, kebersamaan yang semua ini ada dalam kalangan masyarakat negeri ini dijaga.
"Kita hidup bersama, dalam kerukunan sebagai sebuah keluarga, yang bersama dalam pelbagai rutin, tanpa melihat perbezaan agama dan bangsa.
"Ayuh kita kekalkan keharmonian ini selamanya, kerana inilah keunikan kita, inilah identiti kita di Sabah, kita pelbagai namun kita tetap satu," ujar beliau lagi.
Terdahulu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan majlis pelancaran GRS yang dijadualkan hari ini ditunda ke Sabtu (28 Mei 2022) mengikut kesesuaian masa.