Pelaksanaan Undi18, pendaftaran automatik akan pengaruhi tindakan ahli politik - Nabil Halimi
Israr Khalid
November 25, 2021 07:16 MYT
November 25, 2021 07:16 MYT
KUALA LUMPUR: Keberadaan anak muda dalam proses demokrasi negara sedikit sebanyak akan membawa gelombang baharu dalam cara bagaimana parti-parti politik menyusun langkah supaya kekal relevan.
Kata pengasas bersama Arus Anak Muda, Nabil Halimi, parti-parti politik akan lebih berwaspada dengan strategi mereka dan diharap dapat lebih menumpukan aspek perkhidmatan supaya tidak ditolak oleh golongan kritikal ini.
Maka beliau merasakan sekiranya Undi18 dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, kita dapat lihat anak-anak muda ini akan membuat keputusan yang lebih baik.
“Kami tak kisah Pakatan Harapan (PH) ke, Barisan Nasional (BN) ke, bagi saya BN masih menarik dan tidak boleh menganggap semua anak muda itu berhaluan kiri. Anak muda mahu lihat cara YB atau wakil rakyat melakukan kerja, menunaikan janji mereka dalam manifesto.
“Maka bila mana anak muda atau generasi akan datang ini diberi mandat lebih awal untuk mengundi, parti-parti politik secara automatik perlu bersiap sedia untuk pastikan calon-calon yang diletakkan dapat berbakti kepada rakyat, kita nak tengok wakil rakyat yang proaktif, yang buat kerja, yang suarakan polisi-polisi yang lebih baik,” katanya.
Justeru tegasnya sebelum mahu tergesa-gesa dilaksanakan PRU, lebih baik terlebih dahulu memastikan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik pengundi supaya suasana baharu politik negara dapat dicetuskan.
Tonton sesi penuh Dialog Tiga Penjuru dihoskan oleh Luqman Hariz pada Khamis, di sini:
Pelaksanaan Undi 18 & pendaftaran automatik akan pengaruhi tindakan parti politik - Nabil Halimi
Dialog Tiga Penjuru: Perlukah PRU15 disegerakan?