Pelaksanaan AIP, APP: Keazaman pemimpin, parti politik tidak jelas - MBM
Harits Asyraf Hasnan
Disember 25, 2020 11:56 MYT
Disember 25, 2020 11:56 MYT
KUALA LUMPUR: Keazaman serta kesungguhan para pemimpin serta parti politik di negara ini dilihat tidak jelas dalam usaha merealisasikan penggubalan Akta Integriti Pilihan Raya (AIP) dan Akta Pembiayaan Politik (APP).
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berpendapat, peralihan kerajaan pada penghujung Februari lalu turut menyebabkan usaha itu terbantut.
"Secara jelas kita lihat tidak ada kesungguhan politik untuk memastikan kedua-dua akta ini direalisasikan atau diwartakan secepat mungkin.
"Kita mengharap dan menggesa kerajaan semasa pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, di mana saya yakin sekiranya kerajaan serius melaksanakan kedua-dua akta ini, keyakinan terhadap sistem demokrasi dan kepimpinan beliau akan naik.
"Kalau kita lihat, draf terakhir APP telah pun diserahkan kepada Parlimen untuk diteliti oleh jawatankuasa khas dan apabila berlaku pertukaran kerajaan, ia tergendala dari perancangan asal, yang sepatutnya dibentangkan pada Mac 2020," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Tiada keazaman politik realisasi AIP, APP
Tambah beliau, sekiranya kepimpinan Muhyiddin berjaya menggubal dua akta itu, ia bukan sahaja akan menjadi perbatuan politik (political mileage) kepada Muhyiddin, malah memberi mengembalikan keyakinan rakyat, terutama belia, kepada sistem demokrasi negara.
"Pertama, kembalikan kestabilan politik. Kedua, elak gejala lompat parti yang akan sebabkan ketidakstabilan kepada politik negara.
"Ketiga, apa yang penting adalah untuk kembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat, khususnya belia, terhadap sistem demokrasi di Malaysia yang kita lihat merosot," ujarnya.
Menurut Jufitri, penggubalan AIP dan APP perlu diwartakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 lantaran situasi mendesak ketika ini berkaitan ketidakstabilan politik.
Antara klausa yang dicadangkan di dalam AIP adalah Ahli Parlimen yang melompat parti perlu meletak jawatan bagi diadakan pilihan raya baharu selain menyemak model-model akta di negara lain yang mempunya akta seumpamanya seperti di New Zealand.
Segera gubal Akta Integriti, Pembiayaan Politik
#Muhyiddin Yassin
#pilihan raya umum
#pilihan raya
#integriti
#Akta Integriti Pilihan Raya
#Akta Pembiayaan Politik
#Jufitri Joha
#majlis belia malaysia
#MBM
#lompat parti
#Akta Lompat Parti
#duit parti
#sumber kewangan parti politik
#Parlimen