Pelakon nyaris dibaling botol
Sinar Harian
Mei 2, 2018 11:52 MYT
Mei 2, 2018 11:52 MYT
Persembahan teater tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dibawakan ketika Program Jelajah dan Pelancaran Pakatan Harapan (Harapan) Terengganu menimbulkan kekecohan pengunjung, di sini, malam tadi.
Lakonan berkesan oleh pelakon tersebut menyebabkan orang ramai tidak menyedari bahawa ia adalah lakonan semata-mata.
Kejadian tersebut bermula dengan kemunculan seorang lelaki yang melakonkan watak pro GST yang kemudian dikecam dan nyaris dibaling botol air oleh pengunjung.
Kejadian itu turut menyebabkan seorang wanita bagaikan histeria dan memekik ketika melihat aksi pelakon tersebut, manakala pengunjung lain menjerit marah.
Wanita terbabit yang mengakui penyokong kuat Harapan dan hanya mahu dikenali sebagai Ummi berkata, dia tidak tahu kemunculan lelaki itu hanyalah lakonan.
“Memang saya nak marah dan geram sebab itu bertindak agresif seperti itu.
“Saya tidak tahu itu lakonan, nasib baik belum sempat membaling botol air kepadanya,” katanya.
Berikutan reaksi ditunjukkan pengunjung, persembahan teater tersebut terpaksa dihentikan serta-merta.
Bagaimanapun, program tersebut yang dihadiri oleh Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad boleh dibanggakan apabila ribuan penduduk hadir memberi sokongan.
Kedatangan mantan Perdana Menteri itu membawa aura tersendiri dan diyakini membawa gelombang yang membentuk sokongan lebih besar kepada Pakatan Harapan.