Pejuang tumpu PRU15, tidak terlibat cubaan tukar kerajaan - Mukhriz

Bernama
Mei 31, 2022 14:53 MYT
Mukhriz berkata sekiranya benar, perkara tersebut perlu dibuktikan serta tidak boleh sekadar mendakwa sahaja.- Gambar fail/Astro AWANI
KOTA BHARU: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini berkata parti itu hanya memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan tidak akan terlibat dengan sebarang percubaan untuk menukar kerajaan sedia ada.
Beliau turut menegaskan parti itu tidak terlibat dalam dakwaan terbaharu bahawa Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mendapat sokongan 119 Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri semula.
Beliau berkata sekiranya benar, perkara tersebut perlu dibuktikan serta tidak boleh sekadar mendakwa sahaja.
"Dalam hal percaturan politik nak tumbangkan kerajaan sedia ada, tukar Perdana Menteri kami (Pejuang) tak campur tangan. Kami pun empat orang sahaja, bagi kami (Pejuang) hanya membuat persiapan menghadapi PRU15.
"Saya ingat rakyat pun dah meluat kalau asyik nak tukar-tukar ini, dah penat," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pemukiman Parti Pejuang Negeri Kelantan yang turut dihadiri Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya di sini hari ini.
BACA: Shafie dakwa Muhyiddin ajak bergabung, cukup 'angka' untuk kembali jadi PM
Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa beliau dihubungi Muhyiddin bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi Perdana Menteri semula kerana sudah mendapat sokongan 119 ahli Parlimen.
-- BERNAMA
#Pejuang #Mukhriz Mahathir #Muhyiddin Yassin #PRU15 #Mohd Shafie Apdal
;