'Pejuang tolak GTA, jadi tolak saya jugalah' - Tun Mahathir
Ridauddin Daud
Februari 11, 2023 14:59 MYT
Februari 11, 2023 14:59 MYT
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau meletak jawatan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kerana mendakwa 'aliran' parti itu sedikit berbeza.
Bahkan, katanya, keputusan meletak jawatan itu juga dibuat kerana Pejuang tidak lagi mahu bersama Gerakan Tanah Air (GTA).
Menurutnya, disebabkan keputusan itu, beliau perlu memilih antara kedua-duanya dan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu membuat keputusan memilih GTA.
"Saya dah ada dalam GTA dari dulu dah, pun ada dalam Pejuang.
"Pejuang nampak alirannya lain sikit, sebab itu saya letak jawatan tapi saya masih ahli Pejuang.
"Tapi Pejuang tolak GTA, jadi tolak sayalah juga," katanya ketika ditemui semasa menghadiri e-Forum Usahawan Bumiputera Membina Daya Tahan Ekonomi Bumiputera Dan Cabaran Masa Hadapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini pada Sabtu.
Ketika ditanya perancangannya selepas ini, Tun Dr Mahathir menegaskan beliau akan memberi tumpuan untuk memperkukuh GTA.
Dalam pada itu, beliau juga menyatakan GTA terbuka untuk menerima sesiapa sahaja termasuk dari kalangan pemimpin yang dipecat daripada UMNO sebelum ini.
"Kita nak terima siapa saja yang bersih... yang berjuang untuk bangsa, negara, agama," ujarnya.
Begitupun, beliau memaklumkan sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan daripada bekas pemimpin UMNO.
Astro AWANI pada 14 Januari lepas melaporkan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan mengenai punca peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir sebagai pengerusi parti itu pada Disember tahun lalu.
Tindakan Mahathir itu menurut beliau, diambil selepas berlakunya perbezaan pendirian antara dirinya dan bekas Perdana Menteri itu berhubung kerjasama dengan GTA selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).