Pejuang terbuka jalin kerjasama dengan parti yang bersih dan ikhlas - Tun Mahathir

Abd Hadi Che Awang
Mac 30, 2022 15:45 MYT
Pejuang menurut Tun Mahathir tidak akan bergabung dengan pihak yang masih mengamalkan kegiatan rasuah, kleptokrasi selain aktiviti membeli undi untuk kepentingan parti masing-masing. - Gambar fail
LANGKAWI: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan, kriteria utama dalam mewujudkan gabungan itu adalah parti-parti yang terlibat perlulah bersifat ikhlas dan bersih dari sebarang salah laku.
Pejuang juga menurutnya tidak akan bergabung dengan pihak yang masih mengamalkan kegiatan rasuah, kleptokrasi selain aktiviti membeli undi untuk kepentingan parti masing-masing.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi memaklumkan bahawa Pejuang masih bergerak solo dan tidak mempunyai sebarang ikatan atau kerjasama dengan mana-mana parti ketika ini.
"Waktu ini kita tidak bergabung dengan sesiapa, kita sama-sama kita sahaja, kerana jika kita nak bergabung dengan orang, orang kena buat (dan ikut) cara dia, kita nak buat cara kita, kita cuma berjuang untuk orang Melayu supaya orang Melayu tidak meminta-minta kepada orang lain, kita ada kebolehan, itu perjuangan kita.
"Tetapi (apabila) datang orang parti lain dia nak bagi duit, beli undi situ, beli undi sini, itu kita tidak boleh (gabung), kita anggap beli undi itu satu jenayah, satu kesalahan, tetapi bagi orang yang bersih, kita sanggup kerjasama," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan bakul Ramadan di Masjid Al-Naim, Makam Mahsuri pada Rabu.
PRU15 | Pejuang sedia kerjasama dengan parti yang bersih
Dalam perkembangan berasingan, beliau turut menzahirkan harapan agar pengundi di Parlimen Langkawi tetap dengan pendirian untuk mengundi calon Pejuang di dalam PRU-15 tanpa mengira siapa calon yang diletakkan.
Ianya bagi memastikan perancangan serta pelan yang telah dan sedang dilaksanakan dapat diteruskan demi memastikan kesejahteraan rakyat Langkawi.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan terdapat gerakan untuk mewujudkan satu gabungan politik dikenali sebagai Gerakan Pejuang Nasional (GPN) yang diketuai Dr Mahathir.
Gabungan itu juga dijangkakan akan disertai beberapa parti termasuk Pejuang, Warisan, Pas, Bersatu dan Gerakan selain penyertaan tokoh-tokoh seperti Tun Daim Zainudin dan Tan Sri Rafidah Aziz.
#Mahathir Mohamad #Tun M #Pejuang #dagungan politik #GPN
;