Pejuang pilih anak muda NGO bersih rasuah

Sinar Harian
September 10, 2022 13:38 MYT
Marzuki (dua dari kiri) menerima keahlian baharu daripada penyokong Pejuang di Kubang Kerian ketika Majlis Ramah Mesra Jentera Pejuang Tanah Air Parlimen Kubang Kerian di Kota Bharu, pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mahu meletakkan calon yang benar-benar bersih rasuah dan profesional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk melakukan perubahan di Kelantan.
Justeru, mereka tidak menolak kemungkinan akan meletakkan calon muda daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu walaupun bukan ahli parti itu.
Timbalan Presidennya, Datuk Marzuki Yahya berkata, perubahan dibuat kali ini berikutan banyak kepincangan dalam parti politik yang wujud sebelum ini.
"Kita sentiasa terbuka untuk memilih anak muda yang mempunyai semangat juang tinggi.
"Tidak guna jika mempamerkan calon 'berserban tinggi' tetapi amalannya tidak bagus. Kita mahu calon yang mempunyai komitmen tinggi dan sanggup melakukan perubahan untuk rakyat Kelantan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Jentera Pejuang Tanah Air Parlimen Kubang Kerian di sini pada Jumaat.
Marzuki berkata, selain itu Pejuang memilih calon berwibawa sebagai kriteria utama.
"Tiada guna bercakap mengenai kepentingan agama tetapi kepentingan rakyat diabaikan," katanya.
Berdasarkan demografi, Marzuki membayangkan sebanyak 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan 45 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) akan ditandingi parti itu pada PRU15. - Sinar Harian
#calon pilihan raya #NGO bersih rasuah #Pejuang #Marzuki Yahya
;