Pejuang Muda gesa kerajaan perjelas status Undi 18
Astro Awani
Mac 11, 2021 21:21 MYT
Mac 11, 2021 21:21 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa menyatakan pendirian berhubung status kelayakan mengundi pada usia 18 tahun yang sepatutnya berkuat kuasa Julai ini selepas Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim memaklumkan ia tidak dapat dilaksanakan.
Dalam satu kenyataan, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda menyifatkan kenyataan Rais sebagai menghina proses demokrasi Parlimen malah memperkecilkan kemampuan anak muda dalam membuat pilihan ketika pilihan raya.
“Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu telah sempurna diluluskan di Parlimen, kenyataan YDP Dewan Negara itu, bukan sahaja tidak menghormati lunas Perlembagaan malah memperkecilkan kemampuan anak-anak muda dalam membuat pilihan dalam pilihan raya.
“Kami menolak sekeras-kerasnya kenyataan YDP Dewan Negara tersebut yang telah menghina proses demokrasi Parlimen negara dan berharap Undi 18 dapat diteruskan seperti yang telah dirancang,” kata mereka dalam kenyataan.
Terdahulu Rais seperti dilaporkan Utusan Malaysia berkata, terdapat pelbagai kekangan untuk melaksanakan dasar Undi 18, walaupun selepas Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Katanya negara masih tidak bersedia untuk membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu, selain proses untuk mendapatkan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun turut memakan masa lama.
Undi 18 merujuk kepada usul untuk menurunkan usia layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Pada 2019, Parlimen bersetuju meminda perlembagaan persekutuan untuk membolehkan rakyat berusia 18 tahun mengundi dan bertanding sebagai calon dalam pilihan raya.
Undang-undang itu diwartakan secara rasmi pada September 2019.
#Rais Yatim
#Dewan Negara
#pilihan raya
#rakyat
#Undi18
#pindaan undang-undang
#RUU
#Pejuang Muda
#tidak bersedia
#tidak dapat dilaksanakan