Pejuang hantar rayuan kepada RoS - Mukhriz Mahathir

Adie Sufian Zulkefli
Januari 9, 2021 15:23 MYT
RoS menolak pendaftaran Pejuang menerusi sepucuk surat yang dikeluarkan pada Rabu. - Gambar fail/BERNAMA
JERLUN: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) telah mengemukakan rayuan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada Jumaat berhubung penolakan pendaftaran parti itu.
Menurut Presiden (Penaja) Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir, surat rayuan itu telah dikemukakan oleh Timbalan Presiden Penaja, Datuk Marzuki Yahya.
Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun turut memaklumkan, mereka telah mengikut segala arahan serta apa yang diminta RoS selepas permohonan parti itu ditolak dengan alasan permohonan yang diterima didapati “tidak teratur”.
"Surat itu telah kami kemukakan semalam (Jumaat) malah yang berhormat Datuk Marzuki Yahya selaku Timbalan Presiden Penaja telah bertemu dengan pendaftar yang baharu yang dilantik di RoS, sekitar pukul 10 pagi semalam.
"Maksudnya kami ambil tindakan susulan mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Kami masih lagi sangat berharapkan bahawa RoS boleh pertimbangkan semula penolakan ini. Kami cuba sekali lagi menjawab apa juga persoalan yang telah dibangkitkan kenapa permohonan kami di tolak," katanya.
Mukhriz berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Parlimen Jerlun, hari ini.
Pejuang telah menghantar rayuan kepada RoS
Politik | RoS tolak permohonan PEJUANG jadi parti politik
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata Pejuang telah mengemaskini permohonan agar tidak berlaku perkara berbangkit dan ditolak sekali lagi.
Mukhriz tidak menolak andaian penolakan parti itu ada campur tangan politik kerana bimbang Pejuang bakal memberi ancaman kepada parti lain.
Astro AWANI pada Khamis melaporkan RoS menolak pendaftaran Pejuang menerusi sepucuk surat yang dikeluarkan pada Rabu.
Selain Pejuang, permohonan pendaftaran Ikatan Demokratik Malaysia atau Malaysian United Democratic Alliance (Muda) turut ditolak RoS.
Tolak pendaftaran Pejuang bermotif politik - Tun M
#Mukhriz Mahathir #Mahathir Mohamad #Pejuang #politik #Malaysia #Parlimen #Marzuki Yahya
;