Pejuang gesa persidangan Parlimen berlangsung penuh, bukan hanya sehari

Faris Danial Razi
Februari 25, 2021 18:06 MYT
Pejuang menuntut persidangan kali ini mengikut takwim asal tanpa memendekkan sesi persidangan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berharap persidangan Parlimen kali ini dapat dijalankan secara penuh dan bukan sehari seperti yang dilakukan pada 18 Mei tahun lalu.
Menurut satu kenyataan media pada Khamis, kenyataan berkenaan menyebut, persidangan kali ini perlu mengikut takwim asal tanpa memendekkan sesi persidangan.
Kenyataan dikeluarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Marzuki Yahya, Datuk Amiruddin Hamzah dan Datuk Shahruddin Salleh itu turut menekankan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada alasan lagi untuk tidak memastikan sidang diadakan mengikut tempoh ditetapkan.
Parti itu yang masih menunggu kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), berkata ia amat penting memandangkan bukan sahaja keabsahan Perdana Menteri dipertikaikan, malah masalah ekonomi, pandemik COVID-19 dan pentadbiran yang kucar-kacir mengakibatkan kesusahan dan keresahan di kalangan rakyat.
BACA: Pendaftaran Pejuang, MUDA ditolak kerana perlembagaan parti tidak teratur - Hamzah
BACA: Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat - Agong
“Kami juga bersependapat dengan pandangan bahawa, DYMM Yang di-Pertuan Agong tidak perlu mendapat nasihat daripada Perdana Menteri untuk memanggil sidang Parlimen kerana kuasa itu terletak di tangan Seri Paduka Baginda semasa negara dalam tempoh darurat.
“Tambahan pula, keabsahan (legitimacy) YAB Perdana Menteri dipertikaikan dan dengan itu beliau tidak lagi layak untuk menasihatkan DYMM Yang di-Pertuan Agong,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.
#Muhyiddin Yassin #Mahathir Mohamad #Mukhriz Mahathir #Media #Perdana Menteri #Parlimen #ekonomi #rakyat #menteri #COVID-19 #pandemik #Pejuang #Agong #darurat #boleh bersidang #persidangan #penuh #takwim
;