Pejuang calonkan Tun M sebagai PM sementara PRU-15
Astro Awani
Oktober 17, 2020 23:21 MYT
Oktober 17, 2020 23:21 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebulat suara mencalonkan pengasasnya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara menunggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Perkara itu dikongsikan Setiausaha Politik Dr Mahathir, Abu Bakar Yahya menerusi perkongsian di Facebook petang Sabtu.
"Kami ahli jawatankuasa penaja parti Pejuang telah pun memutuskan dengan sebulat suara bahawa Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.
"(Ia) Bagi menggantikan Perdana Menteri yang ada sementara menunggu Pilihan Raya Umum ke-15 jika negara mahu diselamatkan #TunDrMahathirMohamadTheLegend," katanya.
Menerusi perkongsian berasingan, menurut Abu Bakar, perkara itu juga dipersetujui Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Pejuang yang diasaskan oleh Dr Mahathir didaftarkan secara rasmi 19 Ogos lalu dengan menggunakan huruf Jawi ‘Pa’ sebagai logo dan masih menunggu kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Tujuh individu yang dinamakan sebagai jawatankuasa penaja adalah Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Dr Maszlee Malik, Datuk Seri Marzuki Yahya, Datuk Shahrudin Salleh dan Datuk Nur Khairi Ahmad.
Dalam pada itu, hari ini, tular di media sosial satu surat didakwa akuan bersumpah (SD) Dr Maszlee, memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Menerusi surat itu Mazlee, yang memenangi kerusi Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), didakwa menyatakan beliau memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi dan setia kepada Anwar.
Astro AWANI cuba mendapatkan pengesahan daripada Maszlee serta pegawainya mengenai SD berkenaan, namun sehingga kini belum mendapat sebarang maklum balas.