Pejuang ambil maklum pengunduran Maszlee
Bernama
November 2, 2020 22:54 MYT
November 2, 2020 22:54 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengambil maklum berhubung pengunduran Dr Maszlee Malik sebagai ahli jawatankuasa parti, dan mengucapkan terima kasih atas kesudian dan sumbangan tenaga beliau kepada penubuhan parti setakat ini.
"Pejuang mengucapkan selamat maju jaya dalam segala usaha beliau yang akan datang," kata Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah dalam satu kenyataan pada Isnin.
Maszlee yang juga merupakan ahli Parlimen Simpang Renggam mengumumkan keputusannya menarik diri daripada parti berkenaan hari ini.
Pejuang yang diasaskan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusinya, sehingga kini masih belum diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
-- BERNAMA