Pejuang ada beberapa strategi untuk didaftarkan - Dr Mahathir
Astro Awani
Jun 15, 2021 20:08 MYT
Jun 15, 2021 20:08 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan mempunyai beberapa strategi bagi memastikan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dapat didaftarkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Namun Dr Mahathir berkata, beliau tidak akan mendedahkan strategi yang telah dirancang itu.
"Apa yang dilakukan oleh kerajaan ini seolah-olah kalau Pejuang didaftarkan ia akan mengancam Parti Bersatu... mereka takut kalah.
"Ini cara yang tidak betul. Sebab itu kami akan tuntut supaya kami (Pejuang) berjaya didaftarkan.
"Kalau tidak didaftar juga kita ada beberapa cara lain, plan B, plan C, plan D dan sebagainya tetapi saya tidak boleh dedahkan di sini sebab kita pun nak ada rahsia sikit," dakwanya ketika Wawancara Eksklusif Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad secara maya di platform Sinar Harian pada Selasa.
Disember tahun lalu, Pejuang memohon semakan kehakiman bagi memastikan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membuat keputusan berhubung status pendaftaran parti itu.
Semakan itu untuk memohon perintah mandamus daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk meluluskan atau sebaliknya pendaftaran parti berkenaan secara rasmi sebagai parti politik di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Pada awal tahun ini, RoS memaklumkan pihaknya menolak pendaftaran Pejuang yang diasaskan oleh Dr Matahir itu.
April lalu, Pejuang memfailkan tindakan undang-undang terhadap Menteri Dalam Negeri kerana mendakwanya gagal mengambil tindakan mengenai surat rayuan pendaftaran parti.
Setiausaha Agung Penaja Pejuang, Amiruddin Hamzah dalam satu kenyataan berkata semakan kehakiman diajukan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dan menamakan Menteri Dalam Negeri dan RoS sebagai responden.
#Parti Pejuang Tanah Air
#Pejuang
#Mahathir Mohamad
#Mukhriz Mahathir
#Amiruddin Hamzah
#Jabatan Pendaftaran Pertubuhan