Peja sedia pertahan jawatan Timbalan Presiden Bersatu
Sinar Harian
Februari 1, 2023 19:06 MYT
Februari 1, 2023 19:06 MYT
SHAH ALAM: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersedia mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan parti yang akan berlangsung, November ini.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau akan terus berjuang dalam parti itu sekiranya khidmat baktinya masih diperlukan oleh pemimpin di peringkat akar umbi.
"Jika saya diperlukan untuk terus berkhidmat sebagai timbalan presiden atau dalam apa juga kapasiti, tentunya saya akan terus berjuang melalui parti Bersatu, insya-ALLAH,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Dalam masa sama, Ahmad Faizal berkata, beliau yakin tidak ada mana-mana pemimpin yang akan mengusulkan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti nanti.
“Yang pastinya, saya tidak dengar ada mana-mana pemimpin yang nak memberi usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
“Bersatu terbuka kepada mereka yang layak. Tentunya kita akan alu-alukan proses demokrasi dalam parti kerana akhirnya apa yang penting ialah perjuangan Bersatu dapat diteruskan, bukan kelangsungan mana-mana pemimpin,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai tarikh berlangsungnya Pemilihan Bersatu, beliau hanya memaklumkan ia akan dijalankan pada November tahun ini.
“Pemilihan Bersatu akan diadakan pada November, belum ditetapkan tarikhnya,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Permukiman Ahli-ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional (PN), Ahmad Faizal turut memaklumkan, satu pasukan pengkaji telah ditubuhkan bagi membantu Ahli Parlimen parti itu memainkan peranan dengan lebih baik dalam sesi perbahasan dan pertanyaan di Dewan Rakyat.
Ujarnya, permukiman yang berlangsung selama dua hari bermula pada petang Rabu amat penting bagi mempersiapkan diri mereka untuk menjadi Ahli Parlimen yang baik, selain bertindak sebagai pembangkang yang dapat membina pembangunan negara.
“Kita berpandangan penting untuk 74 Ahli Parlimen yang dipilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu didedahkan dengan peranan yang wajib mereka mainkan.
“Ini bukan hanya tentang politik, tetapi apa yang lebih penting, kita (ingin) memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat. Jadi itu yang cuba diusahakan melalui permukiman ini,” kata beliau.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.