Peguam Negara tidak boleh ditukar sewenang-wenangnya - Presiden Majlis Peguam
Rahimah Abdullah
Ogos 28, 2022 17:12 MYT
Ogos 28, 2022 17:12 MYT
KUALA LUMPUR : Jawatan Peguam Negara (AG) adalah tetap dan tidak boleh ditukar sewenang-wenangnya, kata Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn.
Bagaimanapun, menurut Karen, sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian, sebuah tribunal haruslah ditubuhkan.
"Kita perlu melihat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk tengok sama ada bolehkah kita menukar jawatan AG, atau terdapat pendekatan perlembagaan.
"Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan amat jelas menyatakan sekiranya ingin menukarkan (Peguam Negara), mesti menubuhkan satu tribunal. Jawatan ini adalah jawatan yang tetap dan tidak boleh ditukar begitu sahaja," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman melantik Peguam Negara dalam kalangan ‘orang’ Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Taklimat Presiden UMNO pada Sabtu.
Azalina yang juga Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri berkata, pelantikan Peguam Negara adalah atas nasihat Perdana Menteri dan beliau harus melantik orangnya untuk mudahkan segala urusan.
Justeru, Azalina membangkitkan persoalan, jika kuasa penukaran Peguam Negara berada di tangan pemimpin nombor satu negara itu, justeru mengapa Perdana Menteri tidak berbuat demikian.
Dalam perkembangan sama, Karen berkata, pelantikan Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara diletakkan di bawah bidang kuasa Perdana Menteri untuk mencadangkannya kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Pelantikan itu kemudian akan diterima. Namun, apabila cadangan telah diberi Perdana Menteri tersebut, pemilihan individu-individu sebagai AG atau sebagai Ketua Hakim Negara sememangnya diambil secara merit dan berpegang kepada prinsip integriti seseorang individu.
"Sekiranya terdapat lebih suara diberi untuk cadangan tersebut, maka ia adalah lebih baik, sebab kita perlu memelihara kebebasan pelantikan tersebut supaya tiada campur tangan yang tidak wajar," ujar Karen lagi.
Menurut Karen, sebetulnya tanggungjawab yang dipikul oleh Peguam Negara adalah lebih tinggi daripada sekadar untuk memudahkan urusan.
"Tanggungjawabnya adalah untuk memelihara integriti dan kedaulatan undang-undang. Sekiranya terdapat campur tangan yang tidak wajar, maka kedaulatan undang-undang tidak akan dimartabatkan di negara kita dan demokrasi yang kita amalkan di negara ini akan tercabar," jelas beliau lagi.
Karen turut menggariskan kriteria yang perlu ada pada seseorang Peguam Negara termasuklah, individu tersebut mesti seorang berintegriti, mempunyai pengetahuan mendalam berhubung undang-undang serta memahami keadilan dalam negara perlu ditetapkan tanpa berat sebelah.
Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan syor pertubuhan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengenai keperluan pengasingan kuasa antara AG dengan pendakwa raya.
"Majlis Peguam telah lama mencadangkan perkara ini sebab ia akan memartabatkan lagi ketelusan dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.
"Sekiranya AG mempunyai kuasa untuk memberi nasihat kepada kerajaan dan dalam masa sama memberi kuasa untuk memulakan sebarang prosiding salah laku mana-mana pihak, maka AG terletak dalam satu keadaan yang konflik atau kepentingannya berat sebelah.
"Jadi, pengasingan kuasa ini penting kerana sebagai penasihat kerajaan, AG tidak diletakkan dalam keadaan konflik sekiranya perlu mendakwa mana-mana pihak," tegas beliau lagi.