Pecat Muhyiddin: Keputusan MT UMNO tepat walaupun berat - Rosni
Astro Awani
Jun 26, 2016 15:01 MYT
Jun 26, 2016 15:01 MYT
Wanita UMNO menyifatkan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai tindakan yang tepat bagi parti.
Ketua Penerangannya Datuk Rosni Zahari berkata pemecatan ini bukanlah satu kejutan memandangkan sudah lama Muhyiddin dan Mukhriz telah melanggar perlembagaan parti.
Berikut adalah kenyataan oleh Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari yang dikeluarkan hari ini:
Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Datuk Mukhriz Tun Mahathir serta penggantungan keahlian Datuk Seri Shafie Apdal bukanlah satu kejutan kepada ahli-ahli UMNO. Ini kerana tindakan mereka sekian lama menentang kepimpinan UMNO di atas pentas yang didalangi pembangkang amat jelas melanggar perlembagaan parti yang wajib ditaati oleh semua ahli UMNO.
Saya merasakan YAB Presiden, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dan Majlis Tertinggi UMNO telah membuat keputusan yang tepat walaupun berat demi memastikan disiplin parti dpat diperkemas dan terus dipatuhi. Keputusan pemecatan Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Mukhriz dan pergantungan Datuk Seri Shafie yang hanya dimuktamadkan Jumaat lepas juga membuktikan Majlis Tertinggi tidak terburu-buru membuat keputusan kerana tindakan mereka berganding bersama pembangkang menentang pemimpin UMNO secara terbuka telah berlanjutan hampir setahun lamanya.
Kami sebagai ahli Wanita UMNO yang sentiasa taat setia dan percaya kepada barisan kepimpinan UMNO yang dipilih secara demokrasi setiap penggal, akan terus berdiri teguh bersama YAB Presiden/Perdana Menteri Malaysia dan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, untuk terus memacu parti ke hadapan demi agama, bangsa dan tanahair.
#Majlis Tertinggi UMNO
#Muhyiddin Yassin
#Mukhriz Mahathir
#Najib Razak
#pecat
#pemecatan
#Rosni Zahari
#Shafie Apdal
#UMNO
#Wanita UMNO