Pecat keahlian ibarat 'gali kubur' terus - Annuar Musa

Sinar Harian
Disember 10, 2022 19:18 MYT
Annuar berkata, cara pemecatan beliau juga dianggap pecah rekod kerana tanpa dipanggil dan tidak melalui Lembaga Tatatertib UMNO. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan pemecatan keahliannya pada Khamis sebagai 'menggali kubur'nya dalam parti itu.
“Ingatkan sembelih sahaja apabila tak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Tahu-tahu gali kubur, tak ada bagitahu apa-apa. Paling kurang tahanlah, biar saya tahu dulu. Ini tidak, kambus mati terus,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Khas Ketua-ketua Cawangan UMNO Parlimen Ketereh bersama Annuar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ketereh di Padang Kala Peringat di sini pada Sabtu.
Annuar berkata, cara pemecatan beliau juga dianggap pecah rekod kerana tanpa dipanggil dan tidak melalui Lembaga Tatatertib UMNO bahkan sehingga petang Sabtu, pemimpin itu belum menerima sebarang pemakluman rasmi berhubung pemecatan yang dibuat melalui Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Kuala Lumpur tersebut.
“Mulanya saya hairan apabila dibuang dari kumpulan WhatApps Ketua-ketua UMNO Bahagian ketika nak muat naik gambar membantu jentera UMNO PRU15 di Padang Serai.
“Saya hanya mengetahui perkara ini melalui berita di media sosial sahaja,” katanya.
Sebelum itu, beliau memaklumkan perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian UMNO itu diadakan sebagai menghargai usaha mereka ketika PRU15 lalu dan Annuar sekali lagi berpesan agar semua pemimpin akar umbi tersebut supaya tidak meninggalkan parti.
Beliau yang menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Ketereh selama 35 tahun antara tiga pemimpin yang dipecat keahlian.
Annuar sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi khususnya berkaitan usaha jajaran baharu di antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).
[TERKINI] Annuar Musa, dua Ketua Wanita UMNO bahagian dipecat
Dua lagi ahli UMNO yang dilucutkan keahlian adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin yang juga isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim, serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib. -- Sinar Harian
#Annuar Musa #pemecatan #Parlimen Ketereh #PRU15
;