Pecat Idris Haron suatu dakwaan mengarut - Sulaiman

Shuhada Abdul Kadir
Mei 28, 2020 23:01 MYT
SULAIMAN: Saya anggap ini sebagai provokasi pembangkang untuk melemahkan atau memberi perspektif baharu dalam senario politik pusat dan juga Melaka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali menyangkal dakwaan bahawa beliau akan memecat seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) berikutan tidak sependapat dengannya.
Menurut Sulaiman, kenyataan itu adalah suatu yang tidak masuk akal dan ia sengaja dicetuskan oleh individu tidak bertanggungjawab bagi mengeruhkan keadaan.
Tegas beliau, penularan berita itu di media sosial seharusnya dihentikan bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian politik negeri itu.
"Mengarut. Mereka dah kehabisan modal. Cukuplah, jangan asyik berpolitik saja, rakyat sudah muak. Sebaiknya, tumpulah kepada usaha memulihkan ekonomi negeri dan pandemik COVID-19.
"Belajar daripada kerajaan terdahulu yang ditolak dan akhirnya tumbang kerana asyik berpolitik. Lebih baik berkerjasama membina dan memacu Melaka ke arah yang lebih baik," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, berita mengenai EXCO Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Seri Idris Haron yang akan dipecat daripada jawatan ekoran tidak senada dengan pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri mendapat perhatian di media sosial Facebook dan kumpulan WhatsApp.
Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu juga dikatakan tidak bersetuju dengan lantikan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohd Ali Mohamad sebagai Ahli Dewan Negara (Senator).
Bagaimanapun, Idris menerusi laporan sebuah portal berita hari ini, menafikan dakwaan tersebut sambil menyatakan sokongan terhadap kedua tokoh berkenaan serta kesetiaannya kepada UMNO dan kerajaan.
Idris ketika dihubungi menafikan beliau akan dipecat dari jawatan itu dan mendakwa berita yang tular sebagai provokasi pembangkang.
"Mungkin kerajaan negeri ketika ini stabil dan banyak membela nasib rakyat, sebab itulah mereka (pembangkang) cuba untuk memecahkan sokongan itu supaya kononnya memperlihatkan kepada rakyat bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini berada dalam keadaan tidak menentu.
"Saya anggap ini sebagai provokasi pembangkang untuk melemahkan atau memberi perspektif baharu dalam senario politik pusat dan juga Melaka,” katanya.
#ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri #Exco #idris haron #Melaka #politik #Sulaiman Md Ali
;