Pecat ahli UMNO yang mengundi semasa PRK DUN Chempaka - Sharif
Wan Syamsul Amly
Mac 12, 2015 16:00 MYT
Mac 12, 2015 16:00 MYT
UMNO disaran memecat semua ahlinya yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka 22 Mac ini.
Calon bebas PRK DUN Chempaka, Sharif Mahmood berkata, 'hukuman' pemecatannya dilihat harus diterima juga kepada semua ahli UMNO yang mengundi pada hari berkenaan.
"Situasi itu hanya akan menakutkan ahli sekali gus tidak menyemai semangat demokrasi di dalam parti.
"Kalau macam ini gayanya UMNO, baik pecat sahaja semua ahli UMNO yang mengundi pada hari pengundian nanti.
"Mana demokrasinya UMNO ini? Ia juga melanggar saranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mahu bilangan pengundi tinggi pada hari pengundian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Shariff berkata demikian semasa mengulas keputusan UMNO yang memecat keanggotaan Sharif dan Fadzillah Hussin yang menjadi calon PRK DUN) Chempaka, daripada parti itu berkuat kuasa serta merta.
Menurut Media UMNO, pemecatan itu berikutan tindakan mereka yang bertentangan dengan keputusan parti.
Sharif berdaftar sebagai ahli UMNO Cawangan RKT Kesedar Jeram Tekoh, Gua Musang manakala Fadzillah pula dari Cawangan Kepala Batas, Tumpat.
Dalam pada itu kata Sharif, UMNO dilihat terlalu yakin kepada PAS sehingga tidak meletakkan calon di dalam PRK berkenaan.
Jelasnya, namanya juga sebenarnya sudah dikeluarkan semasa 'pemutihan' ahli pada tahun 1998.
"Saya bukan lagi ahli UMNO sebenarnya, saya semak dan tiada keahlian nama saya lagi.
"Saya sudah dikeluarkan daripada ahli dan belum menghantar permohonan ahli baru, bagaimana nama saya boleh ada lagi sebagai ahli UMNO?" ujarnya.
Sementara itu wakil Fadzillah berkata, pihaknya hanya akan membuat sidang media khas bagi menjelaskan isu berkenaan pada Sabtu ini.
Sharif dan Fadzillah masing-masing bertanding sebagai calon bebas adalah antara lima calon yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.
Calon lain adalah Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42, bekas calon bebas PRK DUN Pengkalan Kubor Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48, dan pesara Kementerian Kesihatan Aslah Mamat, 64.
Barisan Nasional (BN) memutuskan tidak bertanding pada PRK itu bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lepas.
PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Februari lepas.