PCS optimis UMNO akan kembalikan hak Sabah dalam MA63 - Anifah Aman
Astro Awani
Mac 19, 2022 17:10 MYT
Mac 19, 2022 17:10 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Cinta Sabah (PCS) menyambut baik pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan mengembalikan hak Sabah yang termaktub dalam dokumen itu.
Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman berkata, UMNO secara konsisten mengulangi janjinya dan beliau optimis UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan mengotakan janji tersebut.
‘’Pengumuman dibuat Presiden UMNO pada Jumaat semasa Perhimpunan Agung UMNO pada Jumaat merupakan sesuatu yang sangat melegakan.
‘’Pengembalian hak Sabah yang termaktub dalam MA63 harus dilaksanakan dan saya percaya dengan pengumuman dibuat Presiden UMNO, perkara ini akan dapat dilaksanakan dan ini sekali gus menyaksikan keikhlasannya (Ahmad Zahid) dalam mengotakan janji,’’ katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, Ahmad Zahid juga telah memperbaharui ikrarnya sebelum ini yang memberi jaminan kepada warga Sabah untuk mengembalikan hak Sabah yang termaktub dalam perjanjian tersebut.
‘’PCS akan berkerjasama dengan dengan parti-parti di Semenanjung demi kebajikan masyarakat Sabah dan kemajuan negeri,’’ tambahnya lagi.
Menyentuh mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang turut diketengahkan Ahmad Zahid, Anifah mengulangi gesaan PCS untuk membentangkan enakmen petisyen tersebut.
Ia bagi membolehkan wakil rakyat yang berniat melompat ke parti lain kehilangan kerusi yang disandang secara automatik malah akan disingkirkan daripada parti dan jawatan yang dipegang.
PCS kali pertama mencadangkan petisyen tersebut semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020.